Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Jun 09, 2013

Dosa Tanpa Sedar: Ujub, Riak & Takabbur


Sebagai manusia tentunya kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan yang akhirnya membawa kepada dosa. Tanpa sedar atau sebaliknya, harus kita berwaspada dengan menguatkan hubungan kita dengan Tuhan. Tanpa adanya Tuhan di hati, syaitan pastinya berada di sisi. 1001 helah diusahakan syaitan agar manusia menjauhi Tuhan. Melalui bisikan di hati, pelbagai dosa dapat diperkembangkan hingga membawa kerosakan pada diri. Untuk itu, saya akan membicarakan salah satu daripada 10 sifat mazmumah yang dikeji syarak iaitu bangga diri atau dalam bahasa arab ia boleh dikategorikan kepada tiga sifat berbeza iaitu ujub, riak dan takabbur. Mungkin ia berlaku tanpa sedar, oleh itu kenalilah sifat-sifat tersebut untuk mengelakkan daripada ianya berlaku dan membelenggu diri kita.

Antara sekecil-kecil dosa tanpa sedar yang melintasi hati kita adalah perasaan ujub. Ujub dengan kata mudah perasaan takjub dan kagum dengan diri sendiri. Biasanya sifat buruk ini berlaku tanpa diketahui orang lain walaupun ada individu lain yang berada di sekeliling kita. sifat ini berlaku melalui lintasan hati. Bagi kebanyakan kita, mungkin beranggapan apalah salahnya melahirkan rasa kagum dengan diri sendiri. Contohnya, tatkala di depan cermin dengan berpakaian indah, terlintas di hati kita betapa smart dan lawanya kita dengan pakaian itu. Lalu di mana salahnya dengan kata-kata hati tersebut? Tentunya ada salahnya kerana siapalah kita untuk merasa hebat walaupun untuk kepuasan diri sendiri? Lupakah kita bahawasanya kehebatan yang kita miliki bukan milik kita. Pakaian lawa yang kita miliki walau pun hasil titik peluh kita, yang memberikan rezeki itu tentunya Tuhan kita. Apatah lagi jika merasa hebat dengan raut wajah sendiri yang tentunya tidak kekal selama-lamanya. JIka Tuha kehendaki, bila-bila masa kehebatan itu ditarik semula. Mungkin sebagai alternatif, mulakanlah ucapan kita dengan melafaz pujian pada Tuhan terlebih dahulu dengan contoh, Subhanallah, smart la baju ni aku pakai. Dengan kenyataan ini, secara langsung dapat kita katakana segala pujian yang wujud di alam ini selayaknya untuk Dia semata-mata.

Sementara riak pula merupakan sifat terkeji yang dizahirkan reaksi daripada diri kita sendiri. Dengan kata mudah sebarang body language dan perbuatan yang menampakkan kita berbangga dengan kehebatan sendiri sama ada disedari orang atau tidak disedari sesiapa. Dalam hal ini saya lebih berpegang kepada rekasi yang dizahirkan itu disedari oleh orang lain sehingga membuatkan orang lain tidak menyenangi perbuatan kita itu. Biasanya juga ia tidak melalui dengan kata-kata. Antara contohnya, tatkala kita mendapat keputusan cemerlang, dengan sengaja kita menayangkan keputusan kita itu kepada rakan-rakan sekelas kita tanpa dipinta. Tingkah laku ini mungkin kelihatan biasa dalam kalangan kita, tetapi itu bukan isunya. Isunya adalah pada diri kita sendiri, adakah wujud sikap nak menunjuk-nunjuk itu sampai kita bertindak sedemikian? Memang aka nada yang kata ‘saja-saja’ nak tunjuk. Soalnya, mana ada perkara yang berlaku ni kerana ‘saja-saja’? Bukankah Nabi sendiri kata setiap amalan itu bermula dengan niat. Niat pula cukup sekadar terlintas di hati. Jadi, tatkala kita ‘saja-saja’ menayangkan keputusan cemerlang itu, apakah yang terlintas di hati kita? Wallahu a’lam. Apapun sebenarnya ia terpulang pada persepsi orang yang melihat kita, kalau ada suara-suara sumbang yang menyebut kita mahu menunjuk-nunjuk, cepat-cepatlah perbetulkan keadaan. Apapaun, mungkin sebagai alternatif, tak salah kita berkongsi sesuatu tetapi pastikan niat kita betul dan tidak memberi reaksi seolah-olah kita mahu menunjuk-nunjuk.

Bagaimana pula dengan takabbur? Takabbur atau takbur yang biasa digunakan di dalam bahasa Melayu dengan kata mudah bermaksud menunjuk-nunjuk melalui sebarang kata-kata. Sama ada kata-kata itu didengari oleh orang lain atau sebaliknya ia tetap membawa erti seseorang itu mempunyai sifat takbur dalam dirinya. Dalam hal ini, jelas menunjukkan seseorang itu dengan senagaja mahu menunjuk-nunjuk kehebatannya di mana kebiasaannya ia bertujuan untuk membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain. Sebagai contoh, “Setakat SPM engkau tu, jangan haraplah nak dapat kerja elok. Lainlah aku ni ada deegre…”. Jelas, kata-kata itu mengandungi niat yang buruk tatkala diucapkan seseorang. Boleh juga kenyataan itu dianggap tiada niat untuk berbangga-bangga, tetapi kata-kata itu jelas telah merendah-rendahkan martabat orang lain. Lupakah kita bagaimana Iblis dengan angkuhnya merendah-rendahkan asal kejadian Nabi Adam a.s daripada tanah berbanding dirinya daripada api sehingga menjerumuskan dirinya ke arah kebinasaan? Walaupun Iblis menyedari betapa Allah itu Maha Berkehendak, ia tetap meluncurkan kata-kata yang menzahirkan rasa takbur dan berbangga diri. Untuk itu, jangan mudah untuk melafazkan kata-kata yang berbaur takbur dan berbangga diri. Sebelum berkata-kata fikir dahulu kesannya kepada sekeliling. Walaupun sekadar menyebut, ‘aku ada, kau ada?’, ia tetap mengandungi unsur-unsur takbur. Sebagai alternatif, mungkin boleh kita mempersoal sesuatu, tetapi jangan cuba membuat perbandingan dengan orang lain dengan contoh, ‘setakat ada SPM kerja apa yang kau nak buat?”.

Kesimpulannya, ujub itu muncul dari hati, riak melalui tingkah laku dan takabbur dizahirkan dengan kata-kata. Antara sifat ujub, riak dan takabbur, kesemuanya tergolong dalam sifat-sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah. Ia juga boleh dikatakan sebagai berlagak yang tentunya turut dibenci oleh orang-orang di sekeliling kita. Selalunya dengan sifat-sifat itu, ia sekaligus menzahirkan sikap sombong pula. Untuk itu, jagalah hati kita agar tidak mudah terlintas di hati kita untuk bersifat sedemikian. Memang sukar untuk kita mengelakkannya tetapi hapuskanlah dosa-dosa yang remeh seperti itu dengan perbanyakkan istighfar kepada-Nya.  Moga-moga hati kita terpandu oleh Allah walaupun syaitan sentiasa membisikkan tipudayanya dari semasa ke semasa.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.