Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Disember 14, 2014

CORAT-CORET PPG14

Alhamdulillah, selepas melalui 4 siri  Program Pengkarya Guru 2014, program ini berakhir dengan jayanya. Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada Kak Lynn selaku penganjur mewakili MBKM yang berusaha keras menjayakannya biarpun program ini baru sempat dilaksanakan di hujung tahun. Apa pun, berdasarkan soal-selidik yang dikemukakan menerusi FB PPG, berikut adalah respon peribadi saya untuk makluman pihak penganjur:

1. Secara keseluruhan, program ini sangat bermanfaat kepada semua peserta hingga menimbulkan keinginan bagi kebanyakan peserta untuk mengikuti program ini pada tahun hadapan. Secara peribadi, saya sangat berbangga kerana menjadi antara peserta yang paling lama terlibat dengan program-program MBKM (termasuk Kak Sulia dan Abang Mus). Selain menyertai PPG14, saya juga adalah alumni bagi PPG12 dan PPG13 serta PPG14 bagi bengkel penterjemahan. Daripada 100 peserta PPG kali ini, hampir 60%nya telah saya kenali dalam program-program sebelumnya. Maka, tidak ada masalah untuk saya sesuaikan diri selain menjadikan setiap siri pertemuan sebagai masa untuk mengeratkan ukhwah sesama kawan-kawan yang baharu dan yang lama.

Daripada pemerhatian saya, kebanyakan peserta PPG14 datang daripada latar belakang yang berbeza dan hebat dalam pelbagai lapangan sekali pun kesemuanya adalah seorang guru. Bagi alumni PPG13 (kira-kira 20 orang), kesemua mereka mempunyai karya yang telah diterbitkan daripada pelbagai kumpulan penerbitan. Bagi alumni PPG13 Penterjemahan (kira-kira 5 orang) pun, karya terjemahan mereka telah diterbitkan. Tidak kurang juga kelompok Da'ie Pena 2013 (kira-kira 17 orang) yang dibimbing oleh Ibu Naemah (alumni PPG11 Ilustrator) yang menghasilkan e-book bergambar kanak-kanak serta kalangan guru-guru daripada Johor dan Selangor (kira-kira 10 orang) yang menyumbang karya mereka melalui Jabatan Pendidikan negeri masing-masing serta Bahagian Pendidikan Islam, KPM. Bagi kalangan alumni PPG12 (kira-kira 7 orang) dan PPG14 Penterjemahan (kira-kira 7 orang), biar pun karya mereka belum lagi diterbitkan, setiap daripada mereka telah mempunyai pengalaman dalam bidang penulisan. Bagi perserta yang bergerak secara perseorangan seperti Kak Sam, kehebatan beliau tidak perlu disangkal lagi. Malah beberapa peserta lain yang aktif terlibat dalam penulisan buku teks dan rujukan akademik seperti Kak Maheran, Kak Dina dan Kak Zarina juga dilihat sebagai individu yang hebat. Dalam kalangan ilustrator pula, mungkin pembabitannya dalam dunia penulisan baru bertapak, namun bakat yang terserlah sepanjang program ini menunjukkan mereka sememangnya berbakat besar seperti Adi dan Cikgoodeen. Bagaimana pun, apabila berada dalam program ini, semua peserta akur dan sedia menanggalkan 'topi' masing-masing dan bersedia untuk menimba pengalaman mendapatkan pengetahuan baharu melalui slot-slot yang disusun oleh MBKM selain bergaul rapat sesama peserta dan berkongsi idea dan pengalaman masing-masing bagaikan sebuah keluarga.

2. Apa yang saya dapati program ini tampil dengan kelainan dari tahun ke tahun. Sukar untuk saya nafikan bahawa PPG14 ini merupakan program yang paling berkesan dan seronok khususnya pada setiap slot dan pengisian yang disusun. Mungkin keberadaan Encik Ishak Hamzah dan Puan Nisah Harun mengulangi apa yang pernah dibicarakan dalam PPG yang lepas. Tetapi, sebenarnya ia bukan satu masalah kerana ia secara langsung dapat memantapkan lagi pengetahuan peserta menerusi topik yang dibincangkan.

Namun, saya melihat, slot perkongsian ilmu oleh peserta-peserta yang hebat seperti Kak Sam dan Pak Sawa sangat memberi inspirasi kepada peserta. Malah slot Prof Rahman Shaari, Cikgu Chai dan Puan Sri Diah juga sangat menarik sekaligus membuka peluang untuk peserta mempelbagaikan genre penulisan seperti puisi dan buku bergambar kanak-kanak pada masa akan datang.

Selain itu, sesi bersama penerbit kelihatan kurang efisyen memandangkan penglibatan penerbit-penerbit dalam PPG kali ini tidak sebanyak pada PPG13 di mana setiap kumpulan penerbitan hanya dianggotai oleh kurang daripada 15 orang. Keadaan ini dilihat menyukarkan pihak penerbit untuk membimbing peserta dan menyemak masnukrip dengan segera bagi memastikan pada siri keempat manuskrip bagi semua peserta telah sedia untuk diterbitkan.

3. Program suai kenal melalui aktiviti mengutus surat misteri pada saya ia sesuatu yang unik. Mungkin segelintir peserta melihat ia tidak berkait secara langsung dengan program pengkaryaan. Namun saya melihat dengan cara ini peserta-peserta dapat mengenali rakan-rakan dengan lebih dekat. Sepengalaman saya menerusi dua PPG sebelum ini, dengan jumlah peserta melebihi 100 orang, saya hanya sempat mengenali separuh daripada mereka gara-gara tiadanya aktiviti suai kenal serta ice breaking seperti mana yang diadakan pada siri 2 (macam agak lewat, sepatutnya di siri 1) sekalipun PPG berlangsung sebulan sekali (mengambil tempoh 4 bulan). Jadi, bagi PPG kali ini yang berlangsung setiap dua minggu (memakan masa sebulan setengah sahaja), mungkin agak sukar untuk saling berkenal-kenalan memandangakn setiap hari pengisian yang disusun sangat padat. Jadi, tidak ada salahnya aktiviti berkenalan seperti ini dijalankan. Soal gangguan dan salah faham hanyalah sekelumit masalah yang melibatkan beberapa orang sahaja tidak perlu dianggap sebagai aktiviti yang tidak relevan secara pukal.

4. Terasa tidak percaya, PPG14 berjaya melakarkan sejarah tersendiri dengan menjayakan satu aktiviti sosial yang sangat bermakna dan memberi kesan kepada semua yang terlibat. Siapa sangka, aktiviti 'merayap' yang saya sertai diketuai oleh Ustaz Khairul bersama-sama Khaidir (pemandu 'pelancong'), Azlan dan Amien ke sekitar kawasan Chow Kit dan Kampung Baru semasa Siri 3 menjadi titik tolak kepada pelaksanaan program amal bersama-sama Anak Teratak Arfidah. Hanya dalam tempoh kurang seminggu, persiapan yang dijalankan dipermudahkan Tuhan. Rata-rata peserta memberikan komitmen tinggi dalam melibatkan diri menjayakan program amal ini yang mungkin merupakan kali pertama penglibatan mereka. Semoga program ini menjadi acara wajib bagi PPG pada tahun-tahun hadapan sekali pun peserta-pesertanya bukanlah kami.

5. Secara peribadi, saya kurang kisah dengan tempat di mana kursus diadakan. Selama menyertai program MBKM, tempat penganjurannya hanya di sekitar Lembah Klang. Mungkin dapat dicadangkan agar PPG pada masa depan diadakan di luar Lembah Klang yang memudahkan peserta untuk sampai ke tempat kursus. Cadangan saya, buat sahaja di sekitar Sepang yang berdekatan dengan KLIA kerana suku daripada jumlah peserta hadir dengan menggunakan perkhidmatan udara. Selain itu, ia juga sebagai alternatif bagi mengelakkan sesak dan sesat untuk sampai ke tempat kursus. Mengenai perkhidmatan di hotel-hotel, lima bintang untuk Kinrara Resort, empat bintang untuk Flamingo Hotel dan Grand Continental serta tiga bintang untuk Nouvelle Hotel.

6. Urus setia? Tiada masalah. Lima bintang untuk semua staf di MBKM. Terutamanya yang melibatkan urusan SPLG dan TNT. Terima kasih.

7. Penambahbaikan bagi PPG15:
     1. Wujudkan jawatankuasa dalam kalangan peserta di awal siri pertemuan,
     2. Anjurkan sesi ice breaking dan suai kenal di awal siri pertemuan.
    3. Dapatkan kerjasama daripada pihak penerbit untuk membimbing peserta dari sesama ke semasa sehingga buku dapat disiapkan pada siri keempat. Lima bintang untuk Pelangi Novel (Puan Istikamah) yang tidak putus-putus membantu, memandu dan membimbing peserta hingga karya dapat disiapkan awal.

8. Lain-lain hal. 
     1. Mengenai Iklan palsu dan surat layang, diharapkan ia dapat diselesaikan sesegera mungkin. Memang benar, ia sangat memeritkan untuk dihadapi namun saya menyifatkan bahawa orang ini mempunyai masalah split identiti yang sukar untuk dikesan. Kebanyakan peserta berharap agar pulangnya daripada program ini dalam keadaan aman dan sejahtera serta gembira. Namun apabila isu ini bangkit semula di hari terakhir, wujud kembali spekulasi yang bermacam versi. Keadaan ini dilihat membuka ruang untuk mengesyaki (hingga ada yang yakin) ada individu-individu tertentu yang mendalangi biarpun tanpa bukti dan saksi. Mujurlah sepanjang siri akhir ini, aktiviti berjalan dalam suasana yang aman tanpa wujud sebarang persengketaan. Jelas, guru adalah penjawat awam yang profesional. Apapun, diharapkan juga individu yang terlibat dapat bermuhasabah diri dengan merenugi apa yang beliau dapat dengan 'jenaka' yang dicetuskan ini. 
     2. Sesi Muhasabah yang dikendalikan oleh 'mangsa-mangsa' iklan palsu dilihat satu aktiviti yang menyatukan hati peserta dalam kalangan guru untuk bersatu hati tatkala isu ini timbul. Terasa seperti dalam program Pencetus Ummah pula bila setiap daripada mereka tampil ke hadapan dengan meluahkan rasa hati dalam isu ini dengan memberi kata-kata nasihat ala-ala tazkirah. Pedulikan tuduhan syiah oleh individu yang jelas berhasad dengki dengan kesabaran mereka. Pada saya, ia adalah sesi yang jarang-jarang akan berlaku di program-program lain.
     3. Program lawatan ke pameran buku. Sebenarnya ia satu aktiviti yang menyeronokkan. Aktiviti santai ini dilihat membantu peserta mendapatkan ilham menerusi lawatan ke pameran buku. Teringat pula, pada PPG12, peserta diberikan baucer sebanyak RM50 (jika tidak silap jumlahnya) untuk dibelanjakan di KLIBF pada tahun itu. 

Syukur, bukan senang untuk dipilih. Namun, ada dalam kalangan peserta yang jadi 'chips more' dalam beberapa slot yang disusun.

Khadir dan Che bersedia untuk memasarkan novel sulung mereka. 

Sesi bersama penerbit yang besar. Semuanya menanti-nantikan bimbingan daripada editor.


Slot di dewan. Kanak-kanak fokusnya hanya di sekitar 20 minit pertama. Tapi guru-guru?

Ruang 'Bazar Buku' mempamerkan buku-buku yang berjaya diterbitkan menerusi PPG13.

Saya memerhatikan, tiga orang yang di depan ini seringkali 'merebut' tempat di hadapan. Mujur mereka berkongsikan nota yang diupload dalam telegram...hehehe. (kredit to Kak Lin Shazlina, rakan rahsia saya).

Peserta mencabbut nama rakan rahsia mereka.

Rombongan ke pameran buku di KLCC dengan menaiki bas. Dah lama saya tak naik bas ruapanya...haha...

Sesi suai kenal secara berkumpulan. terasa Enjoy dan happy bertemu rakan-rakan baharu.

Bergambar kenangan dengan Cikgu Chai. 

 
Berkali-kali dia meneka Safri Nizam yang menjadi rakan misterinya, tetapi yang bangun adalah Suhaimi Nizam.

Bergambar kenangan dengan kumpulan penerbitan Pekan Ilmu.

Bergambar kenangan dengan kumpulan Daie Pena.
Bergambar kenangan dengan adik-beradik Pelangi Novel PPG13.

Che' Ma, alumni PPG13 hadir mempromosi karya sulungnya, Bateri Jantung Haikal.


Bersama orang-orang hebat, Kak Lynn dan Kak Sam


Program Amal bersama Anak-Anak Teratak Arfidah. Masih tak percaya program ni berjaya dilaksanakan dengan lancar. ALhamdulillah, objektif tercapai.

Terasa diri terinspirasi dengan setiap kata-kata Puan Arfidah yang berjaya membuktikan sejarah gelap masa lalu boleh merubah diri mencapai sinar jika ada kemahuan dan azam yang tinggi. Ini juga satu situasi yang menunjukkan bahawa Allah tidak mengubah nasib seseorang itu melainkan dia merubahnya sendiri.

Sempat bershopping di Big Bad Wolf. Sorry Kak Lynn kerana outing tanpa kebenaran. Kami janji tak buat lagi..hihihi.

Firdaus Ahmad, alumni PPG13 yang mengisi slot. Tetiba rasa nak bikin buku bergambar pula... :P

"Ni dah kali ke berapa bergradusi?"Tanya Encik Wahab tatkala tampil mengambil sijil penyertaan...hehe.. Harap tahun depan dapat lagi :D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.