16 Mei kembali. Buat tahun ke 6 secara rasminya aku meraikannya. Ops, seharusnya aku diraikannya, namun kerjaya guru ini ajaiblah sangat, Rata-rata di kebanyakan sekolah, sendiri punya perayaan, sendiri yang sambut. Syok sendiri kata orang. Namun, itu tidak menghalang daripada guru-guru di Malaysia mengenepikan 'kesengsaraan' menanggung beban tugasnya selama ini. Biar pun hanya sehari, bila menyanyikan lagu rasmi 'Kami Guru Malaysia', semangat seoalah-olah naik segar dan bugar. Ikrar yang dilafazkan pula seolah-olah mengubat jiwa lara di sebalik rasa sakit jiwa dengan pelbagai karenah murid dan desakan pelbagai arahan atasan. Jelas, Hari Guru sememangnya menjadi penawar kepada guru-guru.
Aku pula tidak merasakan perayaan itu memberi kesan yang besar dalam jiwa aku. Ops, harap tiada yang menganggap aku tidak berjiwa guru mahu pun tidak ada semangat keguruan. Bukan itu maksud aku. Aku ada sebab kenapa begini. Aku akui, hari guru memang wajar diadakan. Namun, dalam masa yang sama ia tidak mengubah apa-apa yang menjadikan aku penat dengan karenah dunia pendidikan. Meraikannya hanya sehari, esoknya kepala kusut kembali.
Jadi, apa makna Hari Guru kepada aku? Mungkin, meletakkan kembali guru kepada tugas hakikinya adalah sesuatu yang sangat memberi makna pada aku dan kebanyakan malah semua guru. Apalah gunanya meraikannya sehari, dilimpahi dengan pujian dihargai, hadiah pun banyak yang diperolehi, namun dalam masa sama penat pada semalam dan esok hari tetapi berterusan lagi. Namun, terpaksa aku sedari, dunia hari ini sangat mencabar wibawa dan kredibiliti guru-guru. Peranan guru hari ini tidak lagi sama dengan guru suatu masa lalu tidak lagi boleh dibeza-bezakan. Memang jauh bagai langit dengan bumi. Hakikat ini bukan sahaja guru perlu menerimanya, bahkan keluarga, ibu bapa dan seluruh masyarakat perlu mengakuinya.
Percayalah, zaman berubah, skop kerjaya pon berubah sama. Kepercayaan bahawa kerjaya guru tersangatlah mudah dna senang, guru balik awal dan kerja setengah hari, guru banyak cuti dan tugas guru hanya mengajar sahaja di dalam kelas hanyalah mitos semata-mata. Tidak perlu ditanya 'sebenarnya apa yang susahnya jadi seorang guru?', cukuplah sekadar menghargai pengorbanan guru yang peranannya sangat besar dalam masayarakat. Mana tidaknya, guru adalah ejen kepada perubahan masyarakat. Lebih-lebih lagi guru adalah golongan yang diberi kepercayaan sebagai duta kepada kerajaan dalam melaksanakan pelbagai matlamat dan kehendak kerajaan yang mahu dicorakkan dalam masyarakat. Antaranya, melalui penggubalan kurikulum, penganjuran kempen-kempen dan sebagainya yang memerlukan peranan guru dalam menyebarkannya kepada generasi semasa.
Apapun, aku sendiri berbangga menjadi seorang guru biarpun tidak aku terjemahkannya melalui kata-kata. Ia lahir dari perasaan yang aku sendiri dapat rasakan serta perlakuanku yang agak sibuk dengan tugas-tugas persekolahan. Syukur juga aku berada di tahap ini. Bersempena dengan Hari Guru kali ini, aku kongsikan beberapa episod asam garam pahit manisku sepanjang tenpoh bergelar seorang guru.
1. Aku tidak ada mimpi untuk menjadi seorang guru biar pun peratus komposisi kerjaya bagi keluarga nukleus aku di sebelah mak agak besar berbanding kerjaya lain yang pelbagai dari atok, mak, pakcik dan makcik serta sepupu sepapat aku juga. Dalam kalangan keluarga yang lebih berkembang lagi, di peringkat dua pupu ke tiga pupuku pun ramai yang jadi cikgu. Jadi, aku dah nampak ke'susaha'an tugas guru tu sebelum aku menjadi seperti mereka kini.
2. Tatkala di tahun akhir pengajian degree, rakan-rakan satu fakulti kebanyakannya mula sibuk mencari kerja sama ada untuk sementara mahu pun tetap apabila sudah bergraduasi nanti. Dalam pada tu, mereka juga sibuk mengisi borang on-line KPLI dan aku pun kerana sekadar mahu mengikut tanpa ada niat, turut sama mengisinya, Aduh, akhirnya dapat pada percubaan kali pertama!
3. Semasa sesi temuduga, aku ditanya kesediaan untuk dihantar ke Malaysia Timur, spontan aku jawab tak mahu dengan memberi alasan yang aku kira munasabah biarpun klise. Nasiblah. Cukuplah dalam kawasan Malaysia Barat di negeri Pantai Barat sahaja. Tapi, yang tak disangkanya dapat tempat di Bangi sahaja. Sudahlah aku graduan dari UKM Bangi, maktab pula IPGM KPI Bangi. Tidak cukup dengan itu, selepas 2 minggu orientasi, ada sesi tukar penempatan suka sama suka, ada yang mahu mengambil sekolah aku dan aku pula ditawarkan sekolah di Sepang, yang tentunya lebih dekat dengan rumah aku. Lalu, apa lagi alasan aku untuk tidak menerimanya?
4. Pada hari pertama Pendaftaran, abah berprejudis terhadap aku sampaikan abah memfolow kereta aku dari jauh semata-mata mahu pastikan aku menuju ke destinasi. Takut-takut aku menyimpang ke tempat lain dan terlepas daripada pendaftaran masuk maktab. Urrghh... sampai begitu sekali. Dah tamat taklimat awal, abah call cakap dia berada di dl luar dewan!
5. Hari pertama melapor diri, aku tidak menyangka Guru Besar sekolah aku ni adalah bekas guru aku di waktu aku bersekolah rendah. Malah, ada seorang lagi bekas guru aku di sekolah yang sama di mana kedua-duanya jga adalah rakan setugas mak sebelum itu. Tidak kurang juga, beberapa orang guru lain adalah orang sekampun denganku. Aduh, segan sungguh bila bekas cikgu sendiri sekarang jadi rakan setugas. Keadaan ini membuatkan aku merasa selesa dan rasa dalam perlindungan. Entah kerana apa, hanya hati aku yang merasakannya.
6. Sejak bertahun-tahun aku posting, aku sangat suka mengajar Tahun Satu secara dominan. Tiap-tiap tahun aku tawar diri ajar mereka biar sedangkan rakan-rakan lain mengelak-ngelak daripadanya. Namun tahun ini aku cuba buat anjakan paradigma untuk mengajar murid Tahun 4 secara dominan. Rupa-rupanya, memang lebih bahagia kalau ajar murid besar sedikit berbanding murid-murid kecil. Aduh, kalau tahu, dari dulu aku minta. Tapi jujunya, kepuasan lebih diperolehi apabila mengajar Tahun 1. Sebab apa? Carilah jawapan sendiri.
7. Aku seorang guru yang baik. Baik di sini adalah mengikut definisi budak-budaklah. Kononnya aku tak mudah marah macam cikgu lain. Tapi sebenarnya, mereka tulah yang tak makan saman bila aku marah-marah. Ada pula yang semakin aku marah, makin galak dia nak buat salah. Bukan tak pernah aku lempang, cubit, rotan tapi mereka dikir aku olok-olok aje. Lagi sakit jiwa ada yang masih tersengih sumbing bila aku denda mereka. Memang segaja nak buat hati aku sakit kot tapi aku sabarkan aje. Memang aku maraj, tapi agaknya muka aku nampak macam tak marah. Apa nak buat. Itu bukan anugerah yang diberikan Allah kepadaku. Tatkala kawan-kawan aku dari jauh menapak murid-murid dah gerun mendengarnya, aku pula bair pun dah masuk kelas masih ada yang bising dan bermaon-main. Nak angin satu badan kadang-kadang tak menjadi. Agak-agak ada tak kursus yang boleh buat aku di'takuti' oleh murid-murid? Bila keadaan macam ni aku rasa tak direspect oleh mereka. Mentang-mentang aku jenis melayan mereka, mereka boleh negotiate macam-macam dengan aku. Ramai juga yang datang pinjam seringgit dua kat aku kalau tak bawa duit belanja atau duit hilang. Selamba sungguh. Tapi tak apa, dalam pada ada yang garang, biarlah aku jadi yang tak garang. Balance sikit..hihi.
8. Aku sangat tak heran dengan sambutan hari guru lebih-lebih lagi kalau pasal hadiah. Apa yang diberi aku terima dengan senang hati. Jujurnya, saham aku dari tahun ke tahun merosot sedikit demi sedikit dari tahun ke tahun. Kalau di 2 3 tahun pertama beberapa helai plastik oren yang besar tu penuh hadiah ku jinjit masuk ke kereta. Tapi semakin lama semakin kurang pula biarpun tidaklah ketara jumlahnya dari masa ke masa. Tak apa, rodakan sentiasa berpusing, redha je lah. Lagi pun, itu bukan matlamat aku dan kebanyakan guru yang lain juga. Yang penting, ucapan penghargaan yang perlu diutamakan.
9. Biarpun masih di kira setahun jagung (sebenarnya dah banyak jagung pun) jadi seorang guru, macanm-macam tugas telah aku galas. Dan, aku suka untuk bertukar-tukar tugas dan jawatan atas dasar ingin belajar sesuatu yang baharu malah yang berminat dengan jiwa raga ku. Ada yang aku tak minta kerana tiada kemahiran, memang aku elak seboleh-bolehnya. Mana yang aku rasa boleh buat, memang aku terima dan buat sehabis baik. Yelah, nobody is perfect, tapi bila dapat tugas, memang kenalah buat yang terbaik.
10. Antara perkara yang best sepanjang perkhidmatan yang masih pendek ni, aku berjaya membawa nama sekolah ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan kantin bersih anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia. Aku juga berbangga dengan pencapaian murid-murid yang aku latih khususnya dalam acara nasyid, dikir barat dan catur. AKu bukanlah jurulatih yang baik, tapi aku sedaya upaya buat yang terbaik dengan kerjasama kawan-kawan lain yang tentunya kejayaan yang dicapai adalah hasil usahasama bersama-sama.
11. Antara perkara yang kurang best adalah apabila ada tugasan yang aku buat tidak menyerlah dan kurang berjaya sekaligus mungkin tidak dapat menaikkan nama sekolah. Antara lain aku sangat bimbang bila berada dalam situasi tegang dalam perhubungan interpersonal sesama rakan setugas. Sungguh, tak mudah berurusan dengan mereka yang sukar untuk dibawa runding selain tidak menunjukkan minat untuk bersama-sama menyelesaikan sesuatu isu. Namun, aku beroptimis, mendung kan berarak pergi, sinat mentari kan kembali terangi.
12. Aku tidak percaya, dalam tempoh beberapa tahun berkhidmat, aku mendapat APC yang sepatutnya aku hargai dengan gembira, tapi bilamana kelayakanku dipertikaikan, aku jadi sangat kesal dan ralat untuk menerimanya. Memang aku muda dan baru lagi untuk diberikan penghargaan itu, aku akui. Jadi, tatkala orang lain gembira tersenyum bangga menerimanya, aku pula di sebaliknya. Sebab itu aku rasakan, aku perlu sentiasa buktikan peranan aku di sekolah benar-benar memberi impak yang tersendiri. Bukan biasa-biasa. Insya ALLAH, dalam mengejar matlamat dunia, harap-harap ia seiring dengan kehendak akhirat. Apa gunanya dikenal oleh manusia, sedangkan di sisi Allah aku bukanlah sesiapa. Jadi, niatku perlu sentiasa lurus dan tidak ada simpang siurnya.
13. Aku patut bersyukur kerana dengan kerjaya aku ni, aku dapat belajar macam-macam perkara. Malah, ada perkara yang dulunya aku tak mampu, tak terdaya malah tak terpandai atau tak berpeluang melakukannya, kini aku memperolehinya. Contohnya, aku obses dengan catur dan nasyid, dulu peluangku terhad, kini aku berkecimpung secara tidak langsung dengannya dengan menjadi juruletih. Letih kerana aku sendiri tak pakar namun kerana amanah dan tugas, aku usahakannya. Aku minta dengan penulisan dan pengurusan, akhirnya kini aku berpeluang besar dalam dunia penulisan sehingga berjaya menerbitkan beberapa buah buku di pasaran. Dalam pengurusan, biarpun dulu bercuta-cita mahu bekerja di ofis, namun di sekolah, aku ni juga dah memang macam officer. Nasiblah.
14. Dulu aku nak sambung belajar selepas berdegree, abah tak bagi atas alasan tiada gunanya master PhD kalau tidak berada di aliran pendidikan. Memang niat aku waktu tu nak mengatasi pencapaian abah dalam akademik. Tapi bila dah berada di aliran ini, tanpa banyak soal, abah benarkan aku sambung juga. Kini, aku terfikir-fikir untuk menyambung lagi ke peringat seterusnya, namun abah macam tak bagi lah pula. Mana taknya, sekolah punya kerja pun tak habis-habis sampaikan balik pun dah tak berwaktu, tidur pun tak menentu ada hati pula dan menambah beban belajar lagi. Allahu rabbi... permudahkanlah urusan aku.
15. Memandangkan aku suka kepada sesuatu yang baharu, maka aku memang sedia untuk mengikuti sebarang kursus, bengkel dan latihan yang berkaitan yang tentunya aku berminat dengannya. Antara ilmu yang aku dapati adalah melalui kursus penulisan buku, skrip drama, pembikinan video pendidikan, pembentang seminar pendidikan, VLE Frog, team ujirentas KSSR/KSSM sebagai penganalisis data, bengkes ilustrasi dan bermacam-macam lagi. Namun malangnya, tidak semua dapat aku aplikasikannya disebabkan aku sedari betapa tugasan pengajaran adalah lebih hakiki untuk aku fokuskan. Dalam pada tu ada beberapa perkara lain yang aku minat namun masih tak diberi ruang dan peluang untk mengikutinya. Tak apalah, apa yang ada pun tidak mampu ku laksanakan lagi.
Fuhh... banyak juga aku punya kisah ni. Ingatkan sikit je. Nampak sangat 6 tahun tu merupakan tempoh yang boleh dianggap sebagai senior. Jadi, aku perlu pastikan 6 tahun itu adalah masa aku menambah pengalaman, bukan aku mengulang pengalaman di tahun pertama untuk tahun-tahun selepasnya. Memang lain ertinya tu. Jadi, dengan tema Hari Guru 2015 ini, Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak, aku berharap aku benar-benar dapat menjadi murabbi, mudarris, muaddib, muallim dan lain-lain gelaran mulia pada pandangan masyarakat untuk terus berkhidmta dan berbakti. Sungguh, pada saat ini pun, aku masih merasakan aku bukanlah guru yang baik apatahlagi terbaik. Banyak kelemahan yang aku perlu tampal dan perbaiki. Tiap-tiap hari aku berdoa agar murid-muridku memahami dan mengaplikasikan ilmu yang ku beri dalam kehidupan mereka. Pada guru-guruku, rakan-rakan guru dan sesiapa yang pernah mengajarku walau satu ilmu, aku ucapkan, SELAMAT HARI GURU. Wallahu a'lam.