Saya baru pulang daripada Year-End-Sale Book Fair anjuran MAPOBA yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Program ini dijadualkan selama 3 hari yang berakhir pada esok hari. Jujurnya, saya hadir ke sana bukanlah untuk berbelanja buku sangat. Saya lebih kepada hendak melihat suasana YES ni yang saya kira penganjurannya mencetuskan polemik dalam kalangan peminat buku dan pengunjung pesta buku di laman sosial khususnya facebook (klik di sini). Ia berikutan pengumuman penganjur bahawa PBAKL16 akan berlangsung di sini pada tahun hadapan.
Menerusi maklumat yang diterima, antara matlamat penganjuran YES ini adalah untuk dijadikan kayu ukur kepada penerimaan masyarakat atas keputusan pihak penganjur PBAKL16 yang telah memutuskan acara bertaraf antarabangsa itu bakal dilangsungkan di MAEPS sekitar April tahun hadapan. Polemik yang timbul sebenarnya tidak menjejaskan pihak penganjur bahkan ia dijadikan sandaran untuk menyediakan pelbagai keperluan dalam mengatasi masalah yang bakal dihadapi hasil daripada tinjauan awal dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pembaca, penerbit, penulis dan sebagainya.
Untuk itu, dalam kesempatan beberapa jam saya di sana, saya dapat simpulkannya suasananya secara peribadi menerusi catatan ini;
1. Saya beranggapan parking kereta akan penuh sampai ke pintu gerbang. Namun, kelihatan lengang dan saya sendiri berjaya memakirkan kereta saya bersebelahan dewan A. Bukan kereta tak banyak tetapi kawasan MAEPS ni saya lihat banyak tapak parkir kereta. Jadi, kerisauan saya kerana hadir pada jam 11.00 pagi tidaklah dikira lewat.
2. YES bookfair ni berlangsung dalam Dewan C. Tatkala kaki melangkah masuk, kedudukan gerai tak ubah seperti di PWTC. Namun, kelihatan luas pada setiap lorong. Jadi, ia memudahkan 'aliran trafik dua hala' pengunjung tanpa bimbang berlaku himpit menghimpit dalam kesesakan ramai.
3. Penyertaan penerbit buku saya tidak pasti berapa banyak, tetapi kelihatan banyak ruang kosong di dalam dewan tersebut hingga mampu menyediakan ruang selesa di depan pentas acara dengan susunan kerusi yang banyak. Namun, saya dapat mengenal pasti beberapa penerbit popular yang tidak ada gerainya di dalam dewan tersebut. Saya tidak kecewa, kerana saya dari awal hadir bukanlah untuk membeli belah buku.
4. Buku-buku yang dipamer dan dijual di setiap gerai semuanya menawarkan potongan harga berlipat kali ganda. Memandangkan ianya adalah Year-End-Sale (jualan akhir tahun), maka tidak hairanlah banyak buku yang saya lihat pada PBAKL15 di PWTC beberapa bulan lalu kini telah diberi tawaran harga yang menarik. Alangkah untungnya bagi sesiapa yang mendapatkannya.pada hari ini berbanding saya yang telah membeli beberapa buah buku (banyak sebenarnya) pada PBAKL15 yang lalu.
5. Acara pentas berlangsung mengikut jadual satu persatu pada setiap hari ia berlangsung. Ruangannya pun berdekatan dengan gerai pameran dan jualan. Pengunjung boleh memilih sama ada mahu meneruskan pencarian dan pemburuan buku atau pun duduk berehat sambil melihat sebarang acara yang sedang berlangsung di atas pentas. Kerusi yang disediakannya amat banyak. Itu pun dewan tersebut masih luas baki ruangnya.
6. Sejujurnya, Dewan C tidaklah padat dipenuhi pengunjung. Bukan kerana pempamer yang menyertai YES kali ini tidak banyak. Banyak sebenarnya, cuma dewan tu besar sangat agaknya. Tapi kalau semua penerbit dalam Malaysia menyertai tanpa mengira apa genre sekali pun, saya pasti satu dewan yang luas itu pun tidak akan mencukupi. Tapi bukan itu saya nak kata. Apa yang dapat dilihat, sebahagian daripada keseluruhan pengunjung ke MAEPS itu hadir untuk memasuki Dewan B yang menempatkan pertunjukkan Upin & Ipin.
9. Pertunjukkan Upin & Ipin telah menarik ramai kanak-kanak untuk menyaksikannya sehingga memaksa ibu bapa mereka melihat sama pertunjukkan itu. Tiket sebanyak RM3 bagi kanak-kanak dan RM5 bagi dewasa tidak menghalang pengunjung-pengunjung untuk memasuki dewan itu sekali pun harus beratur panjang untuk mendapatkan tiket. Jelas, Upin & Ipin merupakan penarik kepada kehadiran pengunjung ke YES sekali pun Upin & Ipin merupakan matlamat utama mereka. Dewan A, B, C mahu pun D kesemuanya berada berdekatan antara satu sama lain.
10. Selain pameran dan jualan buku serta pertunjukkan Upin & Ipin, terdapat foodcourt dan gerai-gerai jualan makanan di luar dewan. Bahkan, gerai-gerai jualan permainan turut ada. Turut dikhabarkan terdapat ruang kanak-kanak bermain, tapi saya tidak pasti di mana kedudukan. Pendek kata, macam-macam ada sepanjang tiga hari YES berlangsung.
Rasanya, ini sahaja review yang mampu saya catatkan dalam kesempatan beberapa jam saya di sana. Pendek kata, sebagai pengunjung pesta buku terutamanya PBAKL yang dah berbelas tahun saya ikuti, adalah wajar untuk kita terima apa jua keputusan penganjur. Soal lokasi yang jauh, masalah pengangkutan awam, parkir kereta dan lain-lain yang dianggap satu masalah kepada pengunjung sebenarnya boleh dicari jalan penyelesaiannya. Ya, memang benar ada perbezaan keadaannya antara di MAEPS dan PWTC, tetapi penganjur dilihat komited dalam memastikan semua pihak yang terlibat dalam acara besar itu hadir dengan perasaan puas. Tidak salah untuk kita beri peluang kepada penganjur untuk membuat perubahan. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik dan lancar.