Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan hari yang amat bersejarah kepada warga Tanah Melayu. Pada tarikh tersebut Tanah Melayu secara rasmi diisytiharkan merdeka daripada penjajahan British selepas satu abad lebih terjajah. Alhamdulillah, syukur kepada yang Maha Esa kerana mengekalkan nikmat kemerdekaan negara sehingga ke saat ini.
Namun, rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam seharusnya tidak terlalu selesa dengan suasana ini. Kita harus senantiasa bertanya, apakah kita berada dalam keadaan yang hakiki? Apakah kita telah merdekakan tanah air, jiwa, pemikiran, budaya, tingkah laku dari penjajahan ideologi yang rosak? Atau apakah tanah air kita sahaja yang telah ditinggalkan oleh penjajah Inggeris, namun pemikiran dan ideologi mereka masih diwarisi oleh kita?
Oleh kerana itu, umat Islam perlulah mengisi kemerdekaan ini dengan menghapuskan saki baki tinggalan penjajah dalam setiap aspek kehidupan mereka. Inilah mesej kemerdekaan yang dibawa oleh pejuang-pejuang Islam di awal Islam ketika mereka berusaha membebaskan bangsa dan kaum yang lemah daripada cengkaman penjajahan Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar dunia ketika itu.
Ini dapat dilihat menerusi ungkapan Rub’ii bin Amir seorang pejuang Islam dihadapan Rustum panglima perang Rom: “Allah mengutuskan kami untuk kami mengeluarkan manusia daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat.”
Justeru, marilah kita memahami erti kemerdekaan secara yang lebih holistik dan matang. Merdekakan jiwa dan minda kita dari melanggar arahan Allah SWT. Merdekakan masyarakat kita dari perpecahan dan permusuhan. Sabda Nabi SAW: Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda:”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “ (Hadis riwayat Bukhari)
Semoga dengan memahami erti sebenar kemerdekaan , akan menambahkan keberkatan kepada kehidupan kita di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT; Maksudnya: “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”(al-A’raaf: 96)
Akhir kata.. selamat menyambung Hari Kemerdekaan yang ke-52 :D
Tiada ulasan:
Catat Ulasan