CCTV dalam tandas sekolah? Kedengarannya sesuatu yang menarik untuk diaplikasikan. Jika selalunya ia dijumpai di pusat membeli belah, pejabat mahupun di lebuhraya, kini ia dipasang meluas hingga ke dalam rumah dan premis sekolah. Ia tercetus apabila beberapa kes buruk berlaku yang mengakibatkan maslahah nyawa dan keselamatan seseorang hingga memerlukan tinjauan melalui alat berkenaan dilakukan. Malah masalah-masalah lain berkaitan tingkahlaku dan sikap buruk yang dilakukan tanpa diketahui pihak lain hingga menimbulkan kerugian dan penyelewengan dilihat dapat di atasi dengan cara ini.
Jika pemasangan di rumah kebelakangan ini adalah rentetan daripada beberapa kes penderaan pembantu rumah terhadap anak majikan di negara ini, di sekolah juga ada kesnya yang seumpamanya berlaku hingga meresahkan banyak pihak. Malah, pemantauan terhadap pembantu rumah melalui CCTV dilihat dapat mengekang sikap curi tulang, kecurian dan seumpamanya. Begitu juga di sekolah, ia juga dapat mengekang kelakuan negaif murid secara langsung seperti merokok, vandalisme dan seumpamanya. Oleh yang demikian, jika pemasangan di rumah tidak menjadi isu kepada masyarakat, malah bersetuju cara itu dapat mencapai matlamatnya yang tersendiri, namun kenapa tidak di premis sekolah?
Tatkala sekolah diyakini sebagai tempat untuk melahirkan masyarakat yang berdisiplin dan berakhlak mulia, kes-kes disiplin seperti merokok, membuli, mengugut, mencuri, ponteng kelas dan seumpamanya tidak langsung hilang daripada kedengaran di mana-mana sekolah. Sama ada di sekolah rendah mahu pun di sekolah menengah isu sebegini kerap berlaku. Begitu juga sama ada di sekolah berasrama atau sekolah harian, situasinya tetap sama. Bahkan tidak ada lagi beza murid lelaki dan murid perempuan bilamana kes sebegitu juga berlaku kepada kedua-dua kelompok jantina itu. Malah tidak kurang juga ianya berlaku sama ada di luar atau di dalam kawasan sekolah. Dengan kata lain, isu ini seolah-olah sukar dibendung dan tetap berleluasa hingga memberikan perspektif negatif terhadap sekolah dan guru secara amnya oleh ibu bapa dan masyarakat luar.
Tatkala sekolah diyakini sebagai tempat untuk melahirkan masyarakat yang berdisiplin dan berakhlak mulia, kes-kes disiplin seperti merokok, membuli, mengugut, mencuri, ponteng kelas dan seumpamanya tidak langsung hilang daripada kedengaran di mana-mana sekolah. Sama ada di sekolah rendah mahu pun di sekolah menengah isu sebegini kerap berlaku. Begitu juga sama ada di sekolah berasrama atau sekolah harian, situasinya tetap sama. Bahkan tidak ada lagi beza murid lelaki dan murid perempuan bilamana kes sebegitu juga berlaku kepada kedua-dua kelompok jantina itu. Malah tidak kurang juga ianya berlaku sama ada di luar atau di dalam kawasan sekolah. Dengan kata lain, isu ini seolah-olah sukar dibendung dan tetap berleluasa hingga memberikan perspektif negatif terhadap sekolah dan guru secara amnya oleh ibu bapa dan masyarakat luar.
Soalnya, benarkah hanya sekolah yang dianggap sebagai pusat membina akhlak dan peribadi mulia terhadap diri seorang murid? Adakah peranan guru lebih besar dan utama berbanding ibu bapa untuk memastikan akhlak dan peribadi mulia mereka diamalkan di luar sekolah? Atau salah pihak berwajib yang tidak menjalankan pemantauan terhadap salah laku dan kebejatan sosial seperti itu di luar dan tempat awam? Salah rakan sebayakah atau salah media massa yang memaparkan adegan negatif dan aksi buruk di media cetak dan kaca tv? Atau salah diri murid sendiri kerana mudah terpengaruh dengan situasi semasa walaupun telah dinasihati dan diterap dengan nilai-nilai murni oleh ibu bapa di rumah dan guru di sekolah?
Ramai ibu bapa mengadu betapa sukarnya mengawal anak-anak bilamana mereka tidak ada di hadapan mata. Mungkin kerana sibuk bekerja dan mencari wang demi kelangsungan hidup, tiada siapa boleh menafikannya. Boleh jadi juga kerana diri tidak mampu hendak membendung sikap anak-anak yang makin liar dan tidak terkawal. Lalu kepada guru-gurulah tempat untuk diluahkan perasaan. Mujur masih diakui sikap dan tingkahlaku anak-anak yang membesar di depan mata. Bagi yang ego tinggi, langsung menafikan sikap dan tingkahlaku yang bermasalah daripada anak-anak hingga tatkala laporan daripada sekolah mengenai salah laku disiplin di sampaikan, tidak langsung diterima gara-gara anak yang berada di sisi bermanis muka dan lembut lidah bagai memijak semut pun tak mati. Apa yang berlaku, guru di sekolah merasa terbeban dengan situasi sebegini kerana bukan mudah untuk menguruskan manusia yang berbeza latar belakang, masalah dan sikap. Harapan guru-guru adalah kerjasama daripada pihak lain terutamanya ibu bapa diperlukan bagi membanterasnya dari semasa ke semasa. Namun, seringkali kerjasama seperti itu tidak wujud atau jika wujud ia tidak memberi kesan yang besar.
Oleh yang demikian, sebagai cara membuktikan salah laku murid di sekolah, pemasangan CCTV dilihat satu inovasi yang sesuai di zaman teknologi ini. Mungkin yang menjadi isunya adalah kerana ianya dipasang di tandas. Namun jika diperhalusi sebenarnya sebenarnya ia sesuatu yang memberi faedah yang tersendiri memandangkan rata-rata sekolah mendapati tandas murid menjadi tempat popular kepada murid-murid untuk melakukan perkara yang negatif. Tidak terhad kepada masalah buli, kes-kes lain seperti merokok hatta menconteng dinding tandas pun boleh dibanteras melalui alat ini. Bahkan tugas guru terutamanya guru disiplin akan semakin mudah tanpa perlu memantau dan menyiasat dalam masa yang lama untuk 'menangkap' murid yang terlibat, malah tatkala aduan dan laporan di bawa kepada ibu bapa, ia boleh menjadi bukti yang tuntas tanpa boleh dielak dan dinafikan lagi oleh murid terbabit.
Bagaimana pun, pemasangan CCTV ini perlulah diperhalusi lagi agar tidak timbul sebarang isu berkaitan di kemudian hari. Antaranya isu pemasangan di tandas murid perempuan yang jelas melanggar hak privasi, atau masalah penyelenggaraan berkaitan kos akibat daripada kerosakan atau dirosakkan dikemudian hari. Apapun, perbincangan lanjut antara pihak sekolah dan ibu bapa harus ada demi mencapai kata sepakat berdasarkan isu utamanya iaitu membanteras salah laku murid di dalam kawasan sekolah. Malah, isu pemasangan CCTV tentunya menjadi polemik yang hebat dalam kalangan masyarakat walaupun tujuan asalnya adalah baik dan rasional pada perkiraan pihak sekolah.