Heboh sepanjang minggu ini dimedia memperkatakan tentang PPSMI. Pelbagai pihak menyuarakan rasa dan pandangan. Baik secara peribadi mahupun sebagai mewakili sesebuah organisasi. Pro dan kontra sudah pasti saling sanggah-menyanggah antara satu sama lain. Masing-masing membenarkan apa yang dirasanya benar. Apa yang kontra dari mereka dianggap salah belaka. Mereka saja benar yang sebenar-benarnya.
Di satu pihak mereka menganggap betapa perlunya program PPSMI ini diteruskan. Katanya demi kemajuan dan wasilah ilmu, pengajaran di dalam Bahasa Inggeris amat sangatlah perlu. Untuk menyanyingi bangsa lain Bahasa inggeris perlu menjadi keperluan utama. Maka dengan itulah matapelajaran Sains dan Matematik diajarkan di dalam Bahasa Inggeris sedari sekolah rendah.
Di sebelah pihak lagi pula sekeras-kerasnya membantah. Katanya pula untuk maju tidak perlulah menggadaikan budaya dan bahasa sendiri. Tidak ada ertinya kalau negara maju tetapi rakyatnya hilang jatidiri. Jika mahupun mencapai sasaran anak-anak di bangku sekolah boleh menguasai bahasa kedua itu, Maka bahasa itu sendiri perlulah diperkasakan di dalam P&P subjek berkenaan.
Itu kata mereka. Kata seorang pembela kononnya. Juga kata-kata yang menganggap merekalah peneraju kemodenan. Samada kata-kata itu berbunga ikhlas atau punya helah dan tipudaya, semua yang mendengarnya punya tafsiran tersendiri.
Melihat baik buruknya, serasanya baik kita melihat apa objektif asal untuk mengadakan PPSMI ini. Jika kerana kemajuan, ternyata ramai pihak memberi misalan negara-negara maju lain seperti Rusia dan Jepun meningkat maju bukan kerana Bahasa Inggeris. Jika kerana ketamadunan dunia serta kerana ilmu pengetahuan, ternyata ia silap semata-mata. Eropah bukanlah pembawa ketamadunan. Malah merekalah penciplak tulen tamadun yang telah dipelopori oleh para ilmuan Islam. perkara ini semua orang tahu, bukan?
Apapapun asbabnya, semua pihak perlu menyedari keperluan dunia pendidikan hari ini. Zaman kini bukan zaman 20 ke 30 tahun lalu. Tapi ini zaman millenium, segalanya perlu berubah. Tapi itu tidak pula bermakna anak-anak dibangku sekolah boleh dijadikan bahan eksperimen. Jika tiada kepastian pada keberjayaannya maka sepatutnya sedari awal ia tidak dimulakan. Namun jika sememangnya diyakini kebolehannya maka seharusnya pada hari ni tidak ada pahat yang masih berbunyi setelah rumah gah tersergam siap.
Kata-kata sumbang yang menusuk sanubari sistem pendidikan itu tentunya membawa mesej kelemahan dalam PPSMI. Ya, setiap kelemahan pastinya perlu ada jalan untuk mengatasinya. Namun keyakinan masyarakat perlulah diraih juga seiring dengan peneguhan pada lubang-lubang yang terdapat pada PPSMI ini. Tolonglah, jangan sesekali sistem pendidikan dikambing hitamkan. Jangan pula kelak yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan