Saya amat menyokong andai ada yang menyebut tiada maknanya Melayu tanpa Islam. Nampak kenyataan ini agak rigid dengan mengikat Melayu sebagai satu bangsa dengan agama Islam sedangkan bagi bangsa Arab tiada kedengaran pula yang Arab itu Islam dan sebaliknya.
Tetapi itulah hakikatnya. Islam merupakan rahmat kepada bangsa Melayu sehingga bangsa yang dulunya tidak terkenal malah dipandang sebelah mata oleh dunia mengalami perubahan mendadak sekelip mata gara-gara pengislaman Raja Muzaffar Syah, Sultan Melaka yang pertama yang sebelum itu bernama Parameswara. Semerta rakyat jelata tika itu yang berpegang kuat dengan setiap perlakuan dan kata rajanya mengikut sama memeluk Islam.
Selama ini mereka, bangsa Melayu hidup dalam kejahilan dan gelap tiada panduan. Budaya cacamarba menjadi kelaziman dalam kehidupan seharian. Datangnya Islam di bumi Melayu secara beransur-ansur membuka satu dimensi baru betapa Melayu bukanlah layu seperti yang dikata, sebaliknya Melayu pada masa depan bakal bergemerlapan dengan hadirnya Islam di hati mereka. Untuk menyebut segala kegemilangan Tanah Melayu yang ketika itu Islam telah tersebar luas yang sinonim dengan kehebatan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan dunia waktu itu mungkin tidak perlu di sini. sejarah telah membuktikannya.
Kini sebagai pewaris bangsa, Melayu seharusnya juga menjadi daie dan penegak kepada Islam. Tidak guna melantang suara membela bangsa sedangkan agama dinyahtepikan. Begitu juga Islam, walaupun tiada keraguan Islam itu lebih tinggi mulianya berbanding yang lain namun tetap juga harus diiringi dengan kekuatan sesbuatu bangsa mahupun negara bagi memastikan daulahnya tertegak di muka bumi ini. Pernah disebutan Islam bakal tertegak di akhir zaman di Nusantara setelah selama ini banyak negara dan benua telah gemilang seantero dunia. Samada gemilangnya kerana tamadun yang bertapak di Indus, Mesopotamia, Barat atau Timur mahupun kerana agama seperti di Palestin, Hijaz dan Afrika yang telah gemilang kerana adanya kekhilafahan Islamnya pada masa lalu.
Hanya Nusantara khususnya bangsa Melayu yang tidak lagi gemilang. Maka, sama-sama kita lihat betapa Islam itu benar-benar bererti dan relevan pada masa kini dan berkait secara langsung dengan bangsa Melayu pada masa depan. Ya, tak kan Melayu hilang di dunia, lebih-lebih lagi dengan adanya Islam. Insya-allah...