Hujung tahun ini kelihatan rezeki rakyat Malaysia secara umumnya sedikit bernasib baik. Dalam tempoh sebulan dua kebelakangan kerajaan seolah-olah mengambil berat n meluah keprihatinan dengan memberikan pelbagai insentif bagi meringankan beban rakyat. Bagus, barulah nampak moto yang sering segembar-gemburkan, rakyat didahukukan, pencapaian diutamakan.
Bermula dengan pemberian wang RM100 kepada semua murid sekolah, nampaknya semua ibu bapa murid memberi respon positif menerimanya dengan senang hati. Tidak ada pula laporan yang menyebutkan ada kalangan ibu bapa yang tidak mahukan hadiah daripada kerajaan yang bermatlamatkan untuk persediaan persekolahan bagi tahun hadapan. Namun begitu,terdapat beberapa insiden yang berlaku yang dihadapi oleh beberapa sekolah di seluruh negara apabila ibu bapa melahirkan rasa tidak puas hati duit yang diterimanya dipotong untuk membayar yuran tertunggak. Dapat dilihat, kerana duit semuanya sanggup bertegang urat meminta hak, tetapi masih juga buat-buat lupa dengan hutang yang tertunggak. Di sini, kerajaan mendapat nama, tetapi pihak sekolah pula dicela, sedangkan agihan itu tidak harus diberikan kepada pihak sekolah.
Kemudian, sekarang ini rata-rata masyarakat maklum dengan permohonan pemberian RM500. Permohonan dibuka kepada golongan masyarakat yang berpendapatan kurang daripada RM3000 yang mengetuai keluarga. Bermaksud ia berdasarkan pendapatan ketua keluarga dengan tidak merangkumi jumlah keseluruhan pendapatan seisi rumah. Lalu dilihat ia memberi peluang kepada ramai individu untuk membuat permohonan kerana jika tidak dicampur dengan jumlah pendapatan isi rumah yang lain tentu sahaja ramai yang layak untuk menerimanya. Sekali lagi masyarakat memberi respon positif dengan tidak ada pula laporan yang menyebutkan keenganan mana-mana pihak untuk tidak mengambil peluang itu.
Terkini juga, dilaporkan semua pelajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah, sama ada institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang berada di bawah KPM dan KPT, mereka diberi juga insentif berupa baucer sebanyak RM50 untuk pembelian buku dan bahan-bahan pembelajaran di premis-premis yang terpilih. Sekali lagi golongan sasaran ini memberi reaksi positif untuk menerimanya. Malah peluang ini terbuka kepada semua yang bergelar pelajar di mana-mana institusi dalam negara dipelbagai peringkat pengajian hatta PHD. Dilaporkan semua pelajar boleh menghubungi pihak institusi masing-masing untuk mendapatkan baucer berkenaan.
Daripada kesemua keadaan ini kelihatan ia memberi kebaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat walaupun jumlah yang diberikan tidaklah begitu besar. Namun begitu, penghargaan kepada pihak kerajaan tidak harus dinafikan.
Namun tidak sekadar itu pula rasa keprihatinan kerajaan kepada rakyatnya. Terbaru kerajaan telah mengumumkan sebuah sistem yang baru yang dinamakan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam untuk semua kakitangan awam di negara ini. Sekali lagi kerajaan dilihat berjaya menarik perhatian umum dengan berita yang dianggap dinanti-nantikan oleh golongan sasaran. Namun disebaliknya, wujud polemik daripada pengumuman itu. Sama ada kerana kurang maklumat, tidak memahami maklumat ataupun tidak tahu menahu tentang sistem ini membuatkan sebahagian kakitangan awam curiga dengan sistem baru ini.
Isunya mungkin berikutan pengumuman itu dibuat dengan pekeliling yang dikeluarkan meminta kakitangan awam menerima untuk memilih umur persaraan pada umur 60 tahun. Ia bukan sesuatu yang menyeronokkan apabila umur persaraan disentuh. Sebelum ini majoriti kakitangan awam menolak dan membantah idea persaraan pada usia emas lantara memikirkan implikasi terhadap kesihatan diri, tahap motivasi dan juga keupayaan minda untuk berkhidmat dalam usia yang sudah boleh dianggap waktu berehat di rumah. Namun keadaan ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh pihak atasan. Lalu bantatah itu sekadar bantahan dan tiba-tiba pengumuman ini seiring pula dengan wujudnya SBPA yang dilihat sebagai taktik untuk memujuk kakitangan menambah tempoh perkhidmatan mereka di sektor awam.
Tidak selesai dengan khabar usia persaraan 60 tahun, sebulan lalu isu arahan guru bertugas 9 jam sehari menjadi polemik hebat. Namun idea ini ditarik balik dalam tempoh beberapa hari lantaran wujudnya banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kalangan yang bukan guru berbanding menerima idea itu. Keadaan ini seoalah-olah satu provokasi dari pihak kerajaan untuk membangkitkan emosi guru-guru, namun dalam pada itu masih wujud masyarakat yang prihatin dan maklum dengan tugasan guru yang bukan terhad pada tempoh 9 jam, malah menjangkau masa 7 hari seminggu dan 24 jam sehari.
Apapun, bukan mudah pihak kerajaan untuk memuaskan hati rakyatnya. Bukan hanya kerana masyarakatnya berbilang bangsa, agama dan keturunan, tetapi juga berbeza latarbelakang dan ideologi. Dengan pemberian pelbagai insenitf kepada semua lapisan masyarakat ia seolah-olah satu pelaburan kepada kerajaan bagi memastikan rakyat masih bersamanya. Masyakat rata-rata melihat pemberian insentif ini sememangnya ada
'sesuatu' disebaliknya. Jika hendak disebut sebagai politik wang,
mungkin tidak berapa tepat dan jelas. Tetapi metod yang digunakan ini
seolah-olah satu mainan pujuk-pujukan dan dalam beberapa situasi dilihat
seoalah-olah bermain tarik tali. Memberi dengan mengharap balasan yang
terasa semacam satu paksaan. Terpulang kepada penerimaan dan persepsi individu untuk menganalisis situasi yang berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan