بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang dihormati, Tuan Pengerusi Majlis, Barisan Panel Hakim Yang Arif tunggak keadilan, hadirin-hadirat, seterusnya rakan-rakan seperjuangan sekelian.
(Nasyid):
Marilah mari kita dengarkan
Kisah sejarah yang dirakamkan
Dalam al-Quran kisah ketabahan
Nabi Ayub yang di uji Tuhan
Nabi Ayub adalah putera kepada Mawsh bin Razakh bin Aish bin Ishak bin Ibrahim al-Khalil alaihissalam. Ibundanya merupakan anak perempuan kepada Nabi Luth alaihissalam. Baginda lahir di daerah Hauran. Serta mempunyai isteri yang bernama Rahmah binti Afraathim.
Nabi Ayub adalah seorang yang hartawan. Diceritakan baginda dilimpahi dengan harta kekayaan yang melimpah-ruah, tanaman yang subur, hasil ternakan dan pertanian yang banyak dan ahli keluarga yang ramai. Namun baginda memiliki jiwa seorang hamba yang sangat suka beribadah serta dermawan. Baginda tidak pula merasa sombong dengan apa yang dimilikinya. Malah seringkali baginda memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan bantuan. Ini membuatkan orang ramai menyenangi sikap baginda ini.
Waahh.. mulianya hati baginda kan kawan-kawan? Kita juga mesti mencontohi sifat terpuji ini. Tentu masyarakat akan menyanyangi kita.
Dek kerana sifat taqwa yang menebal dalam hatinya, Allah melantik baginda menjadi seorang Nabi. Lihatlah kawan-kawan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sememangnya boleh memupuk keperibadian unggul dalam diri kita. Sifat taqwa kepada Allah bisa melatih jiwa menjadi lebih kuat dan sabar dalam menempuh segala mehnah dari-Nya. Bukti kekuatan iman kita dapat dilihat daripada tahap kesabaran kita dalam menghadapi ujian Allah.
Namun, sedar atau tidak, bukan semua orang akan senang dengan apa yang kita lakukan. Di kala diri dipimpin iman, iblis durjana turut memainkan peranannya. Hanya kerana dengki dengan apa yang baginda miliki, iblis merencanakan satu muslihat bagi memperdayakan Nabi Ayub. Matlamatnya hanya satu, tidak lain hanyalah untuk memesongkan aqidah dan keimanan baginda.
Lantas tanpa segan silu iblis menghadap Allah menyampaikan hasratnya itu. Dia ingin sekali melihat Nabi Ayub akan tunduk kepada tipu dayanya, “lihatlah nanti, akan aku pastikan Ayub berpaling arah dari-Mu, Wahai Tuhan,” azam iblis bersemangat. Allah dengan mudah memberi keizinan kepada iblis merealisasikan rancangannya itu. Namun sempat juga Allah mengingatkan bahawasanya Nabi Ayub tidak mungkin akan terpedaya dengan tipuan iblis itu.
Begitulah yang terjadi kepada Nabi Ayub. Kekayaan, kemewahan dan kesenangan yang dimilikinya sedikit demi sedikit beransur musnah. Bermula daripada kerosakan tanaman dan kematian binatang ternakan, wang dan harta yang dimilikinya semakin menyusut. Dalam sekelip mata baginda menjadi papa kedana.
Melihat situasi itu, iblis bersorak keriangan. Wah.. gembira benar iblis tu, kawan-kawan. Pastikan jangan ada sifat dengki mendengki dalam diri kita. Ternyata sifat mazmumah itu merupakan perangai syaitan yang sedari dulu berazam ingin menyesatkan zuriat Nabi Adam alaihissalam.
Tahu tak kawan-kawan, orang Yahudi dan Nasrani tidak sesekali akan meredhai umat Islam sehinggalah kita mengikuti jejak mereka. Ini terbukti bilamana, Zionis laknatullah saban hari menyeksa umat Islam di bumi Palestin. Sifat keji itu sekian lama telah membarah dalam diri mereka lantaran tidak senang dengan kesejahteraan yang dimilki oleh umat Islam.
Berbalik kepada kegembiraan iblis. Sangkanya, Nabi Ayub akan menangisi kemusnahan yang dihadapinya. Namun tidak disangka, iman dan taqwa baginda kepada Tuhannya semakin menebal dalam jiwa. Baginda tidak berasa gusar dengan peristiwa yang terjadi pada dirinya.
Melihat kepada keadaan itu, iblis semakin berang. Ternyata muslihatnya tidak menjadi. Lantas iblis membuat rancangan lain dengan harapan keimanan Nabi Ayub akan tergugat dengan musibah yang menimpanya.
Nabi Ayub diuji lagi. Seorang demi seorang putera dan puteri yang menjadi penyeri hidupnya pergi menghadap Ilahi berikutan tragedi runtuhan rumahnya. Namun baginda masih lagi bersabar dan pasrah atas taqdir yang menimpanya. Baginda benar-benar meyakini segala apa yang dimilikinya selama ini semuanya adalah milik Allah semata-mata.
Ini bertepatan dengan dalil Allah melalui surah al-Baqarah ayat 156:
tûïÏ%©!$# !#sÎ) Nßg÷Fu;»|¹r& ×pt7ÅÁB (#þqä9$s% $¯RÎ) ¬! !$¯RÎ)ur Ïmøs9Î) tbqãèÅ_ºu ÇÊÎÏÈ
(demi sesungguhnya, kami akan mengji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan. Iaitu apabila mereka ditimpa kesusahan mereka berkata, “sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada Allahlah kami kembali)
Begitulah kawan-kawan, betapa kuatnya iman Nabi Ayub yang diuji dengan pelbagai ujian. Namun baginda tetap redha. Malah ibadahnya semakin hari semakin bertambah. Begitu juga dengan kita. Tatkala ditimpa sebarang musibah seperti tanah runtuh dan banjir kilat yang berlaku di negara kita, seharusnya kita bersabar dan menyerahkan takdir kepada yang Esa.
Reaksi iblis? Ah, tentu sahaja amarahnya semakin menggila. Sangkanya kepahitan yang baginda lalui bakal menggoyah keimanannya kepada Allah. Namun apa yang berlaku adalah diluar dari jangkaannya. Iblis benar-benar marah dengan keadaan itu.
Maka, dengan saki baki semangat yang ada iblis mencari jalan lain. Tiba-tiba iblis mendapat satu idea. Dengan yakin iblis menghembuskan penyakit kulit kepada Nabi Ayub. Maka sekali lagi ujian diterima baginda. Tubuhnya yang dulu sihat dan segak kini semakin susut. Kulitnya semakin hari semakin menggelupas.
Kini baginda tidak lagi keluar bersiar-siar di perkampuganya. Jiran tetangganya semakin ramai menjauhinya. Masakan tidak, penyakit kulit yang dihidapi oleh Nabi Ayub itu sebenarnya menjadi wabak jangkit berjangkit, sehinggakan tiada lagi orang yang mahu melihatnya lagi. Sudahlah berbau, wajahnya nampak buruk pula. Namun masih ada lagi insan yang sudi bersamanya kala susah dan senang, iaitu ratu hatinya, Siti Rahmah.
Sang iblis dari jauh semakin mengharap mudah-mudahan tipudayanya berhasil. Ternyata, kesabaran Nabi Ayub amat luar biasa sekali. Walaupun hebat deritanya itu, sesungguhnya keadaan itu tidak mampu ditanggung oleh manusia biasa sekalipun.
Lihatlah kawan-kawan, betapa hinanya apabila orang lain benci pada sesuatu yang buruk. Jadi, ingin saya menyeru kepada rakan-rakan supaya kita sentiasa menjaga kebersihan badan. Lebih-lebih lagi pada musim wabak demam Chikungunya ini. Ini kerana Nabi pernah menyebut, al-aqlus saliim fil jismis saliim. Maksudnya akal yang sihat lahir dari badan yang sihat.
Langit tidak selalu cerah. Begitulah nasib yang menimpa Nabi Ayub. Dek kerana tidak lagi tertahan menanggung derita, ditambah pula cacian hebat diterima dari masyarakat, membuatkan isterinya mula bersuara, “wahai suamiku, bukankah engkau hamba Allah yang paling taat beribadah? Apalah kiranya jika engkau memohon kesembuhan daripada-Nya, moga-moga beban yang ditanggung ini berkurangan”.
Berderau darah Nabi Ayub. Tidak di sangka begitu nipis tawakkal isterinya kepada Tuhan. Lalu dengan emosinya baginda bersumpah, isterinya itu bakal disebatnya 100 kali apabila dirinya pulih kelak.
Sedih dengan kata-kata suaminya, Rahmah keluar membawa diri. Dikatakan, derita berpenyakit ini dihidapinya selama 7 tahun. Dalam tempoh itu hatinya tetap pasrah. Lidahnya saban hari tidak putus-putus mengalunkan zikir kepada Allah.
يا الله يا الله، يا الله يا الله
يا الله يا الله، يا الله يا الله
يا الله يا الله، يا الله يا الله
“Ya, Allah. Segala apa yang ada di muka bumi ini adalah milik-Mu. Kurniaan yang Engkau berikan kepadaku, Engkaulah jua yang berhak mengambilnya kembali. Aku redha dan pasrah dengan apa yang menjadi ketentuanku. Moga-moga aku termasuk di kalangan hamba-hamba-Mu yang bersyukur”.
Kawan-kawan, betapa kuatnya iman baginda. Di kala diri diuji hebat, hatinya tetap tabah menghadapinya. Begitulah yang terjadi pada individu kurang upaya (OKU), walau dalam kepayahan, mereka tetap berusaha dan tekun belajar sehingga berjaya berada di menara gading. Kita yang sihat dan sempurna ini patut malu dengan diri sendiri.
Pada suatu hari, setelah lama diuji dengan pelbagai dugaan, Allah berkenan untuk memberikan penyembuhan kepada baginda. dengan satu hentakan kakinya ke tanah, terpancar mata air yang menjadi penawar penyakitnya.
Kini, baginda kembali pulih seperti sediakala. Tatkala isterinya kembali ke rumah, beliau terkejut dengan penampilan baru suaminya. Hatinya cukup gembira. Namun demi sumpah yang pernah terlafaz suaminya, beliau redha dihukum dengan sebatan seberkas jerami oleh suaminya sebagai tamsilan kepada pukulan sebanyak 100 kali. Untuk hari-hari seterusnya, kehidupan mereka kembali ceria.
(syair):
Begitulah kisah…hamba beriman..
Sentiasa tabah…diberikan ujian…
Hatinya pasrah…kuat keimanan…
Amal ibadah…makin digandakan…
Tentu sekali iblis durjana itu kecewa dengan apa yang berlaku. Ternyata, sangkaannya meleset sama sekali.
Kawan-kawan, nampaknya masa amat mencemburui. Sampai di sini saja cerita saya. Izinkan saya mengundur diri.
(Pantun):
Akhir pesanan saya berikan
Moga bersama jadi ingatan
Mana yang jernih buat tauladan
Mana yang keruh jadikan sempadan.
وبا الله توفيق و الهدايه والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته