Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Julai 15, 2012

PERSEDIAAN MENGHADAPI RAMADHAN


Kurang seminggu lagi Ramadhan menghapiri kita. Suka atau tidak kenyataannya harus ditempuhi walau persediaan tidak sepenuhnya lagi dilakukan. Hadirnya Ramadhan bukan seperti hadirnya bulan-bulan lain yang sebelas selainnya. Hadirnya membawa 1001 rahmat buat seisi alam khususnya umat Islam. 

Bagi yang meratapi pemergiannya pada musim lalu, ini merupakan saat-saat yang ditunggu. Bagai merindu kekasih hati, begitulah gayanya tatkala Ramadhan menjelma. Pelbagai persiapan dilakukan demi menyambutnya. Mengharapkan juga tiada kecacat-celaan wujud sepanjang Ramadhan melewati 30 hari bersama golongan yang menyintainya. 

Namun bagi yang tidak memikirkan kehadiran Ramadhan, boleh jadi sehari sebelum datangnya akan datang agaknya masih tidak disedari. Mungkin juga pemergiannya pada musim lalu memang dilepaskan penuh dengan rasa gembira. seolah-olah terlepas daripada satu penyeksaan jiwa raga. Apakah mereka tidak mengetahui betapa istimewanya Ramadhan berbanding Syawal yang sering kali dipersiapkan sebaik-baiknya? 

Apa yang penting sekarang ini biarlah yang berlalu itu ditinggalkan. Tanpa menoleh ke belakang kali ini tetapkan niat dan azam untuk menyambutnya sebaik mungkin. Jika dahulu wujud keralatan dalam mengisi kehadirannya, untuk yang akan datang ini perbaiki semula apa-apa yang boleh dikatakan sebagai cara untuk membuatkan kehadiran Ramadhan itu dipenuhi dengan segala kebaikan. 

Dengan itu bagi memastikan ianya berjalan dengan baik, persediaan harus dilakukan. 

1. Sematkan niat yang betul sebagai azam untuk memenuhi Ramadhan dengan perkara yang dituntut dalam syariat. Kadang kala wujud dalam kalangan seseorang yang mempunyai niat yang kurang betul tatkala datangnya Ramadhan. Tatkala orang lain berniat dengan azam hendak melipatgandakan ibadah, ada pula yang berniat dengan azam untuk melipatgandakan keuntungan dunia. Jadi, pastikan niat sentiasa betul dan diperbetulkan sebagai syarat setiap amal dan ibadah dilakukan diterima oleh Allah.

2. Persediaan ilmu untuk memastikan kehadiran Ramadhan tidak disia-siakan. Ramai yang ada usaha untuk mendapatkan pelbagai keistimewaannya, namun selalunya gagal bilamana kekurangan ilmu membatasi diri untuk melipatgandakan pahalanya. Tidak ada ertinya melakukan sesuatu atas nama ibadah tanpa ilmu sedangkan yang penting kefahaman atas sesuatu itu yang lebih utama. Satu kenyataan mudah, solat dua rakaat lebih memadai daripada 20 rakaat jika ia disertakan dengan hati yang penuh taqwa berbanding mereka yang melakukannya tanpa kehadiran hati yang teguh kepada Allah.

3. Wujudkan persekitaran yang sesuai bagi memastikan strategi bagi merebut peluang yang ada pada kehadiran Ramadhan dapat dipenuhi. Persekitaran itu seharusnya membantu diri bagi memastikan amalan yang dilakukan itu tidak sia-sia. Keadaan ini lebih kepada persiapan mental di mana kadang-kala niat telah disemat namun hati seringkali goyah dan lemah dengan persekitaran seperti di tempat kerja, di rumah dan di mana saja seseorang itu pergi. Untuk itu jika diri tidak berkemanpuan untuk menangani diri dari dipengaruhi persekitaran, maka elakkanlah diri dari persekitaran yang membuatkan iman dan keyakinan diri sedikit demi sedikit punah.

4. Kesihatan fizikal juga harus diambil perhatian bagi memastikan kelancaran dalam mendatangi Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Jika ditakdirkan kesihatan terjejas dalam pada bersungguh-sungguh memenuhi Ramadhan dengan amal kebajikan, anggap saja ia sebagai kafarah dari Tuhan. Tatkala itu tidak perlu timbul penyesalan jika tahap kesihatan itu sedikit sebanyak menganggu gugat diri untuk melakukan ibadah dengan sempurna. Tetapi syaratnya dari sekarang ini jagalah kesihatan diri dengan mengambil langkah-langkah penjagaan yang sesuai kerana peluang berada di Ramadhan bukan mudah untuk dimiliki.

5. Dari aspek kewangan juga harus dititik beratkan untuk dibuat persediaan bagi menghadapi kedatangan Ramadhan. Walaupun itu bukanlah satu kemestian namun dengan kewangan ia dapat membantu dalam mendapatkan ganjaran yang berlipat kali ganda. Oleh kerana semasa Ramadhan inilah setiap amalan digandakan pahalanya, maka apapun cara yang boleh dilakukan untuk merebutnya harusnya diusahakan. Dengan kewangan bantuan boleh disalurkan kepada pihak-pihak yang memerlukan. Sekali tangan menghulur, berkali-kali pahala terkumpul. Sekali dengan huluran itu dapat menggembirakan hati orang lain, berkali ganda kebaikan diperolehi walaupun pemberian itu tidak seberapa namun nilaiannya tidak boleh diukur dengan mata kasar. 

Jadi, apa lagi yang ditunggu? Masih banyak lagi cara bagi membuat persediaan untuk menghadapi Ramadhan yang di dalamnya terdapat satu malam yang kebaikannya mengatasi 1000 bulan. Tepuk dada, tanya iman bagi mengenalpasti bentuk persediaan yang boleh dilakukan kerana lain individu, lain cara persediaannya walaupun matalamat akhirnya adalah sama.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN 1433 HIJRAH.  



Jumaat, Julai 06, 2012

Tingkatan Enam Dipandang Sebelah Mata?




Isu Tingakatan Enam telah beberapa kali menjadi salah satu daripada isu yang wujud dalam arena pendidikan di media. Mendengar ucapan TPM di Buletin TV3 tadi terasa betapa Tingakatan Enam dalam keadaan parah sampai mahu diberi penjenamaan semula. Jika tidak silap penjenamaan Tingkatan Enam telah beberapa kali berlaku. Sekarang ini Tingkatan Enam turut disebut sebagai kelas Pra-Universiti atau dikenali dalam kalangan guru dan pelajar sebagai Pra-U. Tapi situasi yang dilihat seolah-olah kelas Pra-U berkenaan menjadi ‘Perayu’ pula gara-gara tidak ada sambutan menggalakkan daripada pelajar untuk meneruskan pengajian selepas SPM ke Tingkatan Enam. 

Umumnya, TIngakatan Enam merupakan laluan kepada lepasan SPM untuk menyambung pelajaran. Rata-ratanya, mereka yang gagal mendapat tempat ke IPTA akan beralih ke laluan ini. Mereka bukanlah mempunyai keputusan yang kurang baik, malah ramai juga yang memperolehi keputusan yang cemerlang tidak ditawarkan juga di mana-mana tempat di IPTA sehingga ramai yang kecewa. Namun dalam masa sama ramai juga dalam kalangan mereka yang tega memilih IPTS yang memerlukan kos dan perbelanjaan pengajian yang tinggi. Sedangkan pada masa yang sama laluan tanpa kos yang mahal boleh sahaja diambil menerusi pembelajaran di Tingkatan Enam di sekolah-sekolah yang menawarkannya.

Beberapa faktor dikenal pasti yang menyumbang kepada penolakan ramai pelajar untuk ke Tingkatan Enam. Antaranya disebabkan Tingkatan Enam dilihat tidak mesra dan secocok dengan jiwa mereka yang menganggap dirinya telah dewasa. Berada di bawah satu bumbung dengan pelajar-pelajar lain yang berumur antara 13 hingga 17 tahun dirasakan sesuatu yang tidak setaraf dengan mereka. Antara lain, pembelajaran di sekolah menerusi kelas Tingkatan Enam seolah-olah mengongkong jiwa mereka seperti peraturan berpakaian dan ketetapan masa persekolahan yang ditetapkan. Lebih-lebih lagi wujud andaian tiada kebebasan untuk mereka yang berada di Tingkatan Enam apabila mereka tertakluk dengan pelbagai peraturan dan masih dipantau oleh guru disiplin pula terutamanya dalam aspek berpakaian.

Semua faktor di atas wujud apabila penilaian dibuat berdasarkan perbandingan antara sekolah dan institusi pengajian tinggi. Oleh yang demikian mereka lebih suka memilih untuk belajar di mana-mana IPTS asalkan tidak berada di bangku persekolahan. Ini disebabkan apa suasana pembelajaran dan kehidupan sebagai pelajar isntitusi pengajian tinggi tidak dirasai jka berada di kelas di Tingkatan Enam.

Namun, ramai yang kurang memahami apakah keperluan kelas Tingkatan Enam diwujudkan. Sejak lama dahulu kelas ini wujud bagi membantu pelajar-pelajar melangkah ke alam universiti bagi program ijazah sarjana muda. Pembelajaran selama setahun setengah dlihat memendekkan masa berbanding mereka yang menyambung diploma selama tiga tahun di IPT. Namun bagi kalangan pelajar di IPTA, ia tidak menjadi masalah apabila membabitkan soal kewangan.

Dapat dilihat perbezaan, bagi mereka yang mengambil STPM semasa di Tingkatan Enam, mereka akan menjejak kaki ke univerisiti untuk program ijazah sarjana muda pada umur 20 tahun. Sementara mereka yang mendapatkan diploma sebelum itu akan berada di universiti pada umur 21 tahun. Untuk yang seterusnya, bergantung kepada tempoh pengajian mereka untuk mendapatkan ijazah berdasarkan jurusan pengajian yang dipilih.

Apapun, usaha kerajaan untuk menaikkan taraf Tingkatan Enam merupakan usaha yang murni. Tetapi keadaan itu belum menjamin untuk menarik hati pelajar yang gagal ke IPTA untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam. Bagaimanapun, antara Tingkatan Enam dan program diploma IPTS, masing-masing ada pro dan kontranya. Apa yang jelas, usaha kerajaan ini dibuat bagi membantu rakyat dari aspek kewangan dan juga kualiti pembelajaran menerusi kelas Tingkatan Enam walaupun masih tidak popular dalam kalangan pelajar. Bagi bangsa bukan bumiputera, mereka telah menyedari akan peluang ini yang cerah sebagai laluan cepat ke IPTA bagi program ijazah sarjana muda. Hanya kalangan bumiputera masih tidak sedar dan memandang sebelah mata sedangkan semua usaha kerajaan ini merupakan sesuatu yang terbaik buat mereka.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.