Carian Daripada Blog Ini

Sabtu, Julai 27, 2013

Elakkan 'Bazir Ramadhan'



Bazar ramadhan bukan tempat asing bagi kita kalangan masyarakat Malaysia. Di mana-mana pelusuk tempat sekurang-kurangnya ada satu, tidak kira bazar itu berskala kecil atau besar. Di kebanyakan bazar terutama di kawasan bandar yang mempunyai lebih daripada satu bazar ramadhan yang dibuka oleh pihak bekuasa tempatan, sebutlah apa saja, semuanya ada dan boleh didapati sekalipun gerai yang berkenaan dikerumuni ramai orang. Tidak dapat dipastikan sejak bilakah bazar ramadhan ini wujud, namun apa yang pasti ia seolah-olah jadi medan para peniaga mengembangkan bakat di mana sebahagian daripada mereka bukanlah peniaga sepenuh masa di luar bulan ramadhan. Malah di bazar ramadhan jugalah menjadi medan kepada pelanggan dalam kalangan masyarakat memilih juadah yang menjadi kegemaran mereka.

Melihat kepada promosi di kebanyakan hotel dan restoren bertaraf eksklusif pula, di sana juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. Sungguh pun harga tawaran mencecah ratusan ringgit sekali makan, masih ada individu yang sanggup membayarnya. Tidak kurang juga di restoren-restoren standard yang banyak, ia tidak ketinggalan untuk menawarkan pekej harga lebih murah untuk juadah berbuka puasa. Pendek kata, letaklah berapa harganya, tetap akan laku dengan syarat, ia sedap untuk pelanggan mengulang datang menjamu selera ke premis mereka.

Tidak cukup di luar, di rumah pun tidak kurang juga hebat dan meriah dengan pelbagai jenis juadah. Bagi kebanyakan orang yang kurang gemar membeli juadah bazar, memasak sendiri adalah pilihan terbaik. Mungkin beralasankan jaminan kebersihan pada makanan dan seumpamanya, ia juga sebagai satu langkah penjimatan agar tidak berboros kerana terlebih bajet tunjuk menunjuk semasa membeli juadah di bazar. Tidak kurang juga ada yang mengambil peluang di bulan Ramadhan ini untuk mengasah bakat memasak menu kegemaran walaupun sebenarnya dalam banyak menu yang disediakan, terselit beberapa menu yang pertama kali disediakan sebagai proses percubaan. 

Daripada situasi-situasi di atas, benarkah kenyataan bahawa Ramadhan merupakan pesta makanan? Ya, semua orang akan menggeleng kepala tatkala soalan itu diungkapkan. Manakan tidak, rata-rata orang lebih kerap mencongak-congak apakah menu yang bakal berada di depan mata untuk santapan berbuka puasa berbanding mencongak-congak apakah amal baik yang boleh dilipat gandakan untuk merebut peluang keemasan gandaan pahala di bulan Ramadhan. Ya, tidak jadi kesalahan pun. Namun, tanpa sedar, dengan berasbabkan juadah yang tersedia di depan mata, ia membawa kepada dosa atas faktor pembaziran.

Salah satunya adalah berdasarkan laporan akhbar, sebanyak 930 tan makanan sehari telah dibazirkan oleh rakyat Malaysia. Statistik ini boleh jadi betul, boleh jadi juga tidak betul. Betul atau tidak betul, setiap dari kita harus bermuhasabah diri bagaimana sikap kita apabila berhadapan dengan makanan. Adakah makan mengikut nafsu, atau makan seadanya demi keberkatan Tuhan? Sama ada belian di bazar, santapan di hotel dan restoren atau masakan di rumah ia tidak dapat mengelakkan akan wujudnya pembaziran makanan terutamanya jika juadahnya melebihi keperluan selera masing-masing.

Apapun, tidak ada salahnya bagi seseorang untuk memilih menu dan juadah masing-masing. Asalkan ia tidak menyumbang kepada pembaziran. Jika berlaku, apalah gunanya kita berdoa dengan lafaz 'wa qinaa azaabannaar' dengan erti 'selamatkan kami daripada azab api neraka', namun tindakan kita berlawanan dengan apa yang kita harapkan dalam ungkapan doa. Malah, bukan kerana makanan juga kita mendapat dosa, tetapi dengan makanan juga kita boleh mendapat penyakit. Sekian banyak kajian melaporkan, punca kepada kebanyakan penyakit adalah daripada makanan dan cara pemakanan individu terbabit. Boleh jadi ia adalah kaffarah namun anggap saja ia satu ujian buat kita. 

Bagi yang kurang berkemampuan untuk menyediakan makanan mengikut keperluannya, ia sememangnya kayu ukur menguji kesabarannya. Bagi yang terlebih mampu, secara kasarnya ia dilihat sebagai rahmat tetapi juga boleh dianggap sebagai cubaan menguatkan iman melalui cara yang simpel berkaitan makanan. Kesimpulannya, dapatkan keberkatan daripada makanan melalui tindakan kita mengurus makanan agar jauh daripada pembaziran yang tentunya boleh mencetuskan kemurkaan Tuhan. Mengapa tidak, terang-terangan telah Allah sebutkan melalui surah al-Isra' ayat 27 dengan maksudnya, "sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." Wallahu a'lam.


Ahad, Julai 14, 2013

Provokasi Jelek Alvivi



Mereka buat hal lagi. Dengan sengaja rakaman gambar pasangan yang dikatakan kekasih itu dipertontonkan di khalayak maya dengan visual kedua-duanya sedang menyuakan sudu yang berisi cebisan daging babi melalui hidangan Bah Kut Teh dengan tulisan yang mengucapkan selamat berbuka puasa yang tentunya dikhususkan kepada masyarakat muslim. Tidak cukup dengan itu, di sisi bawah gambar tertera logo Halal Jakim yang tentunya dimanipulasi oleh mereka. Pada yang melihat gambar tersebut pasti akan terfikir apakah rasionalnya mereka merakamkan foto sedemikian? Tentunya ini satu provokasi yang dimainkan mereka.

Ya, Alvin dan Vivian, ramai yang dah kenali. Terkenal dengan rakaman lucah yang dipaparkan di blog peribadi yang sebenarnya bukan untuk tatapan sendiri, mereka seolah-olah merasai satu kepuasan bilamana setiap provokasi mereka dalam satu-satu perkara diberi perhatian oleh media. Boleh jadi mereka turut berbangga masyarakat di negara ini yang mengutuk mereka. Apakah di hati mereka cukup legam untuk menentukan betapa marahnya seluruh lapisan masyarakat terhadap setiap provokasi yang dibangkitkan mereka?

Di mana semangat bermasyarakat majmuk diletakkan dalam diri mereka? Di hati atau di kaki? Bukan sekali dua mereka cuba mencetuskan kontroversi tetapi berkali-kali sehingga mereka dikenali ramai. Tidak perlu untuk disenaraikan satu persatu isu yang membabitkan salah laku moral mereka yang telah berlaku selama ini, cukup untuk kita meneliti respon mereka mengenai isu terbaru berhubung gambar ‘berbuka puasa’ mereka apabila dihubungi oleh The Star Online, “saya tidak sabar untuk melihat bagaimana (khalayak umum) menerima isu ini. Nampaknya tidak semua orang mempunyai pemikiran yang sama seperti kami.”

Bengong. Tidakkah mereka ketahui bahawa populasi Muslim di negara ini di sekitar 60%? Berani sungguh mereka mengutarakan respon seperti itu? Tentunya pemikiran antara seseorang dengan seseorang yang lain tidak akan sama. Lebih-lebih lagi bagi masyarakat Muslim, ia langsung tidak boleh diterima oleh akal. Malah, kalangan masyarakat berbangsa Cina pun turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan keterlaluan mereka yang jelas dilihat sebagai satu cubaan menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia. Adakah mereka tidak berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara yang terang-terangan membelakangi norma masyarakat? Atau, mungkin mereka telah hilang pertimbangan akal untuk melihat mana yang baik atau sebaliknya?

Boleh jadi mereka ingin terkenal persis artis antarabangsa. Kalau tidak, masakan mereka boleh tanpa rasa malu dan segan menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan kontroversi? Di sebalik itu, masyarakat melihat keberanian mereka yang seringkali menimbulan isu sebegini adalah disebabkan tiadanya tindakan keras yang dikenakan terhadap mereka. Boleh jadi juga, pihak berwajib melihat ianya bukan isu nasional yang harus diberi perhatian bahkan dalam masa sama menjejaskan kestabilan politik mana-mana pihak hingga dibiarkan saja perkara ini berlaku dan berlalu tidak lama kemudiannya. Ini bukanlah satu cara yang bijak sementelahan negara kita mengangkat Islam sebagai agama rasmi yang wajib diutamakan.

Jika sebelum ini heboh seorang tokoh politik mengeluarkan kenyataan di media sosial yang menyentuh sensitiviti seorang raja, adakah isu Alvin dan Vivian ini tidak dianggap serius? Jika tokoh politik itu dihadapkan ke mahkamah, adakah mereka berdua itu akan terus dibiarkan sahaja? Sekadar SKMM memanggil mereka membuat penjelasan dilihat hanya untuk menutup isu ini daripada terus diperkatakan. Jangan menganggap ungkapan maaf semata-mata boleh menghilangkan rasa mual dan menyampah dengan tindakan jelek mereka.

Jika pihak berwajib pun tidak menjalankan kewajiban mereka untuk membuktikan Islam memang menjadi agama Rasmi Malaysia, memang harapan masyarakat Muslim akan terkubur. Untuk mengharapkan tindakan daripada NGO dan badan-badan lain yang tidak mempunyai autoriti untuk menangani isu ini, sampai bila-bila pun Islam di negara ini akan terus diperkotak katikkan. Tidak sahaja daripada Alvin dan Vivian yang sekarang ini, boleh jadi ramai lagi individu seperti Alvin dan Vivian yang akan berani melakukan perkara yang sedemikian pada masa-masa mendatang.  Jika ianya berlaku, tunggu sajalah Yang Empunya Islam ini mengambil tindakan sewajarnya ke atas kita semua. Na’uzibillah.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.