Bazar ramadhan bukan tempat asing bagi kita kalangan masyarakat Malaysia. Di mana-mana pelusuk tempat sekurang-kurangnya ada satu, tidak kira bazar itu berskala kecil atau besar. Di kebanyakan bazar terutama di kawasan bandar yang mempunyai lebih daripada satu bazar ramadhan yang dibuka oleh pihak bekuasa tempatan, sebutlah apa saja, semuanya ada dan boleh didapati sekalipun gerai yang berkenaan dikerumuni ramai orang. Tidak dapat dipastikan sejak bilakah bazar ramadhan ini wujud, namun apa yang pasti ia seolah-olah jadi medan para peniaga mengembangkan bakat di mana sebahagian daripada mereka bukanlah peniaga sepenuh masa di luar bulan ramadhan. Malah di bazar ramadhan jugalah menjadi medan kepada pelanggan dalam kalangan masyarakat memilih juadah yang menjadi kegemaran mereka.
Melihat kepada promosi di kebanyakan hotel dan restoren bertaraf eksklusif pula, di sana juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. Sungguh pun harga tawaran mencecah ratusan ringgit sekali makan, masih ada individu yang sanggup membayarnya. Tidak kurang juga di restoren-restoren standard yang banyak, ia tidak ketinggalan untuk menawarkan pekej harga lebih murah untuk juadah berbuka puasa. Pendek kata, letaklah berapa harganya, tetap akan laku dengan syarat, ia sedap untuk pelanggan mengulang datang menjamu selera ke premis mereka.
Tidak cukup di luar, di rumah pun tidak kurang juga hebat dan meriah dengan pelbagai jenis juadah. Bagi kebanyakan orang yang kurang gemar membeli juadah bazar, memasak sendiri adalah pilihan terbaik. Mungkin beralasankan jaminan kebersihan pada makanan dan seumpamanya, ia juga sebagai satu langkah penjimatan agar tidak berboros kerana terlebih bajet tunjuk menunjuk semasa membeli juadah di bazar. Tidak kurang juga ada yang mengambil peluang di bulan Ramadhan ini untuk mengasah bakat memasak menu kegemaran walaupun sebenarnya dalam banyak menu yang disediakan, terselit beberapa menu yang pertama kali disediakan sebagai proses percubaan.
Daripada situasi-situasi di atas, benarkah kenyataan bahawa Ramadhan merupakan pesta makanan? Ya, semua orang akan menggeleng kepala tatkala soalan itu diungkapkan. Manakan tidak, rata-rata orang lebih kerap mencongak-congak apakah menu yang bakal berada di depan mata untuk santapan berbuka puasa berbanding mencongak-congak apakah amal baik yang boleh dilipat gandakan untuk merebut peluang keemasan gandaan pahala di bulan Ramadhan. Ya, tidak jadi kesalahan pun. Namun, tanpa sedar, dengan berasbabkan juadah yang tersedia di depan mata, ia membawa kepada dosa atas faktor pembaziran.
Salah satunya adalah berdasarkan laporan akhbar, sebanyak 930 tan makanan sehari telah dibazirkan oleh rakyat Malaysia. Statistik ini boleh jadi betul, boleh jadi juga tidak betul. Betul atau tidak betul, setiap dari kita harus bermuhasabah diri bagaimana sikap kita apabila berhadapan dengan makanan. Adakah makan mengikut nafsu, atau makan seadanya demi keberkatan Tuhan? Sama ada belian di bazar, santapan di hotel dan restoren atau masakan di rumah ia tidak dapat mengelakkan akan wujudnya pembaziran makanan terutamanya jika juadahnya melebihi keperluan selera masing-masing.
Apapun, tidak ada salahnya bagi seseorang untuk memilih menu dan juadah masing-masing. Asalkan ia tidak menyumbang kepada pembaziran. Jika berlaku, apalah gunanya kita berdoa dengan lafaz 'wa qinaa azaabannaar' dengan erti 'selamatkan kami daripada azab api neraka', namun tindakan kita berlawanan dengan apa yang kita harapkan dalam ungkapan doa. Malah, bukan kerana makanan juga kita mendapat dosa, tetapi dengan makanan juga kita boleh mendapat penyakit. Sekian banyak kajian melaporkan, punca kepada kebanyakan penyakit adalah daripada makanan dan cara pemakanan individu terbabit. Boleh jadi ia adalah kaffarah namun anggap saja ia satu ujian buat kita.
Bagi yang kurang berkemampuan untuk menyediakan makanan mengikut keperluannya, ia sememangnya kayu ukur menguji kesabarannya. Bagi yang terlebih mampu, secara kasarnya ia dilihat sebagai rahmat tetapi juga boleh dianggap sebagai cubaan menguatkan iman melalui cara yang simpel berkaitan makanan. Kesimpulannya, dapatkan keberkatan daripada makanan melalui tindakan kita mengurus makanan agar jauh daripada pembaziran yang tentunya boleh mencetuskan kemurkaan Tuhan. Mengapa tidak, terang-terangan telah Allah sebutkan melalui surah al-Isra' ayat 27 dengan maksudnya, "sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan