Mereka buat hal lagi. Dengan sengaja rakaman
gambar pasangan yang dikatakan kekasih itu dipertontonkan di khalayak maya
dengan visual kedua-duanya sedang menyuakan sudu yang berisi cebisan daging
babi melalui hidangan Bah Kut Teh dengan tulisan yang mengucapkan selamat
berbuka puasa yang tentunya dikhususkan kepada masyarakat muslim. Tidak cukup
dengan itu, di sisi bawah gambar tertera logo Halal Jakim yang tentunya
dimanipulasi oleh mereka. Pada yang melihat gambar tersebut pasti akan terfikir
apakah rasionalnya mereka merakamkan foto sedemikian? Tentunya ini satu
provokasi yang dimainkan mereka.
Ya, Alvin dan Vivian, ramai yang dah kenali.
Terkenal dengan rakaman lucah yang dipaparkan di blog peribadi yang sebenarnya
bukan untuk tatapan sendiri, mereka seolah-olah merasai satu kepuasan bilamana
setiap provokasi mereka dalam satu-satu perkara diberi perhatian oleh media. Boleh
jadi mereka turut berbangga masyarakat di negara ini yang mengutuk mereka.
Apakah di hati mereka cukup legam untuk menentukan betapa marahnya seluruh lapisan
masyarakat terhadap setiap provokasi yang dibangkitkan mereka?
Di mana semangat bermasyarakat majmuk
diletakkan dalam diri mereka? Di hati atau di kaki? Bukan sekali dua mereka
cuba mencetuskan kontroversi tetapi berkali-kali sehingga mereka dikenali
ramai. Tidak perlu untuk disenaraikan satu persatu isu yang membabitkan salah
laku moral mereka yang telah berlaku
selama ini, cukup untuk kita meneliti respon mereka mengenai isu terbaru
berhubung gambar ‘berbuka puasa’ mereka apabila dihubungi oleh
The Star Online, “saya tidak sabar untuk melihat bagaimana (khalayak umum)
menerima isu ini. Nampaknya tidak semua orang mempunyai pemikiran yang sama
seperti kami.”
Bengong. Tidakkah mereka ketahui bahawa
populasi Muslim di negara ini di sekitar 60%? Berani sungguh mereka
mengutarakan respon seperti itu? Tentunya pemikiran antara seseorang dengan seseorang
yang lain tidak akan sama. Lebih-lebih lagi bagi masyarakat Muslim, ia langsung
tidak boleh diterima oleh akal. Malah, kalangan masyarakat berbangsa Cina pun
turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan keterlaluan mereka yang jelas
dilihat sebagai satu cubaan menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia. Adakah
mereka tidak berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara yang
terang-terangan membelakangi norma masyarakat? Atau, mungkin mereka telah
hilang pertimbangan akal untuk melihat mana yang baik atau sebaliknya?
Boleh jadi mereka ingin terkenal persis artis
antarabangsa. Kalau tidak, masakan mereka boleh tanpa rasa malu dan segan
menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan kontroversi? Di sebalik itu,
masyarakat melihat keberanian mereka yang seringkali menimbulan isu sebegini
adalah disebabkan tiadanya tindakan keras yang dikenakan terhadap mereka. Boleh
jadi juga, pihak berwajib melihat ianya bukan isu nasional yang harus diberi
perhatian bahkan dalam masa sama menjejaskan kestabilan politik mana-mana pihak
hingga dibiarkan saja perkara ini berlaku dan berlalu tidak lama kemudiannya. Ini
bukanlah satu cara yang bijak sementelahan negara kita mengangkat Islam sebagai
agama rasmi yang wajib diutamakan.
Jika sebelum ini heboh seorang tokoh politik
mengeluarkan kenyataan di media sosial yang menyentuh sensitiviti seorang raja,
adakah isu Alvin dan Vivian ini tidak dianggap serius? Jika tokoh politik itu
dihadapkan ke mahkamah, adakah mereka berdua itu akan terus dibiarkan sahaja?
Sekadar SKMM memanggil mereka membuat penjelasan dilihat hanya untuk menutup
isu ini daripada terus diperkatakan. Jangan menganggap ungkapan maaf
semata-mata boleh menghilangkan rasa mual dan menyampah dengan tindakan jelek
mereka.
Jika pihak berwajib pun tidak menjalankan
kewajiban mereka untuk membuktikan Islam memang menjadi agama Rasmi Malaysia,
memang harapan masyarakat Muslim akan terkubur. Untuk mengharapkan tindakan
daripada NGO dan badan-badan lain yang tidak mempunyai autoriti untuk menangani
isu ini, sampai bila-bila pun Islam di negara ini akan terus diperkotak
katikkan. Tidak sahaja daripada Alvin dan Vivian yang sekarang ini, boleh jadi
ramai lagi individu seperti Alvin dan Vivian yang akan berani melakukan perkara
yang sedemikian pada masa-masa mendatang. Jika ianya berlaku, tunggu sajalah Yang
Empunya Islam ini mengambil tindakan sewajarnya ke atas kita semua. Na’uzibillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan