Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Ogos 28, 2011

SIKAP DI PENGHUJUNG RAMADHAN




Alhamdulilah...Setelah 28 hari menjalani ibadah puasa kelihatan mood ramai orang masa kini ke arah persiapan untuk meraikan hari lebaran yang bakal menjelang dua hari lagi. Persiapan menyambut kehadiran Syawal nampaknya sungguh meriah. Tidak keterlaluan andai disebutkan kemeriahannya sehingga menenggelamkan keberadaan ramadhan yang bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Andai benar ramai yang semakin kemaruk dengan raya amat malanglah mereka. 

      Selama ini kita seringkali mendengar bahawasanya Ramadhan ini merupakan bulan yang penuh berkat dan rahmat. Kehadirannya setahun sekali seperti mana hadirnya Syawal. Namun munculnya Syawal tidak sama dengan wujudnya Ramadhan yang memberikan 1001 rahmat buat umat islam. lebih-lebih lagi di 10 akhir Ramadhan seharusnya amal ibadah dilipat-gandakan. Mungkin selama 20 hari sebelumnya solat setiap waktu dan zikir saban masa tapi tidakkah kita ingat Lailatulqadar berada antara malam-malam terakhir ini? 

      Mungkin ada yang beranggapan pada hari ke-28 ini kemungkinannya malam al-Qadr yang fadhilatnya menyerupai 1000 bulan pahala jika beribadah dimalamnya telah berlalu. Adakah mereka pasti? Mana tahu mungkin malam ini. Apapun malam al-Qadr itu bukan isunya. apa yang harus kita insafi adalah bukan senang untuk kita mengumpul barakah dan pahala yang Allah berikan dengan mudah seperti mana yang Allah gandakan pahala amalan semasa berada di bulan Ramadhan. 

      Alangkah rugi andai kita masih ingin mensia-siakan kehadirannya yang bakal pergi meninggalkan kita tidak lama lagi. Dapat hidup di bulan mulia pada tahun ini pun sebenarnya patut kita syukuri dan rasa bertuah. Seawal hadirnya kita menyambutnya bagai sang kekasih yang lama tidak berjumpa. Tentu sekali ingin kita bersama dan memanfaatkannya untuk kita mendapatkan sesuatu yang berharga daripada Allah berwasilahkan kehadirannya. Alangkah baiknya situasi itu masih kekal diraikan sehingga ke akhir ramadhan. 

      Jangan kerana terlalu sebuk dengan persiapan raya amalan-amalan sampingan selain berpuasa ini dilupa-lupakan. Makin dekat kepada hadirnya Syawal makin kita jauh dengan Ramadhan. Jika beramal pun tidak sekencang semasa di awal kemunculannya. Ibadah yang dibuat dulu sempurna dan penuh dengan perkara-perkara sunat semakin pudar bagai rangka seperti bangkai tidak bernyawa. Roh ibadah semakin hilang bila hati dan fikiran makin ligat dengan hal ehwal raya. Jangan kita lupa amal yang kita buat insya-Allah Dia terima walau hati kita ini ikhlas dan tawaduk zahir serta batin. Kita belum pasti tahun hadapan dapatkah kita bertemu lagi dengannya. 

      Oleh itu saya menasihati diri saya dan anda semua supaya berikan fokus dan tumpuan kepada hari-hari terakhir Ramadhan yang penuh mulia ini. Moga amalan kita diterima serta doa yang kita panjatkan saban masa dimakbulkan-Nya tanpa hijab. Insya-Allah. 


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.