Carian Daripada Blog Ini

Sabtu, Oktober 29, 2011

AKHLAK MULIA BUNGA DIRI


INGAT PESAN RASUL JUNJUNGAN
HIASKANLAH DIRIMU
DENGAN SIFAT-SIFAT YANG MULIA
IA FITRAH SEMUA MANUSIA

AKHLAK YANG MULIA IBARAT BUNGA
IA DISUKAI SEMUA MANUSIA
HATI KAN TERTARIK BILA TERPANDANGNYA
IA SIFAT MAHMUDAH YANG MULIA

AKHLAK YANG MULIA SANGAT ISTIMEWA
JIKA MENJADI HIASAN DIRI
IA DISUKAI KAWAN DAN LAWAN
AKHLAK MULIA BUNGA DIRI

SABAR, REDHA, SYUKUR ADALAH SIFAT-SIFAT YANG MULIA
KASIH SAYANG BERMAAFAN
MESTILAH MENGHIASI DIRI
LELAKI DAN WANITA, TUA ATAU MUDA
MESTI MENGAMALKAN SIFAT MAHMUDAH
JIKA MANUSIA TIDAK MENGAMALKAN
MEREKA BUKAN LAGI MANUSIA

____________________________________________

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.


Ahad, Oktober 16, 2011

TIMBANG-TARA ANTARA KEPERLUAN DAN KEHENDAK



Manusia memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal dalam kehidupan mereka. Apalah maknanya kalau seseorang itu mempunyai pakaian tetapi tiada makanan? Atau mempunyai tempat tinggal tetapi tiada pakaian? Atau mempunyai pakaian tetapi tiada tempat tinggal? Jika salah satu daripada perkara-perkara ini tiada ini bermakna kehidupan seseorang manusia tidak lengkap kerana ia merupakan asas dalam meneruskan kehidupan.
Namun ada yang mengandaikan dalam dunia moden ini tidak cukup hanya sedakar memiliki makanan, pakaian dan tempat tinggal. Mengapa, ada perkara lainkah yang menjadi keperluan dalam hidup? Kalau tiada sesuatu selain daripada tiga perkara ini akan terjejaskah kehidupannya?
Mungkin ya, dan mungkin tidak. Ia berikutan keinginan antara manusia dengan manusia itu berlainan. Keperluan asas yang sama tiada sesiapa pun dapat menafikannya. Tetapi dalam masa yang sama ada juga perkara-perkara lain yang menjadi keperluan dalam kehidupan seseorang selain daripada tiga perkara asas yang disebutkan. Mungkin ianya bergantung kepada corak kehidupan dan situasi mengikut latar belakang diri, kerjaya, suasana masyarakat dan pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada ketidak-samaan perkara-perkara yang menjadi sesuatu yang perlu dalam kehidupan. Bahkan keperluan turut diertikan sebagai sesuatu yang harus dimiliki dengan sekadar yang ada bagi urusan berkaitan kehidupan.
Bagaimana dengan perkara-perkara lain? Tidak pentingkah untuk dimilki dalam kehidupan? Perkara-perkara lain pula dianggap sebagai perkara kehendak dalam kehidupan di mana ia sekadar untuk memberi keselesaan dan kemudahan terhadap diri seseorang. Tanpa adanya perkara-perkara kehendak selain tiga yang asas, ia tidak menjejaskan kehidupan seseorang.
Kehendak yang menjadi kefahaman orang rata-ratanya adalah bersifat subjektif. Dengan adanya perkara-perkara kehendak itu kehidupan seseorang itu akan lebih sempurna dan lengkap. Namun, tanpa perkara-perkara kehendak itu tidak bermakna dirinya akan terjejas dalam meneruskan kehidupan. Cuma kemungkinan akan menghadapi kesukaran dalam melalui kehidupan sehariannya .Boleh juga dikatakan kehendak itu merupakan sesuatu yang dimiliki dengan kadar yang lebih daripada perlu. 
Jika menyebut kenderaan sebagai keperluan seseorang, mungkin ada yang bersetuju. Rata-rata setiap keluarga tentu saja memilkinya. Ada yang berkenderaan untuk bergerak dari sesuatu tempat ke tempat yang lain seperti ke tempat kerja atau pulang ke kampung. Namun apabila menyebut jenis dan pilihan kereta dan MPV mahupun motorsikal dan sebagainya, ia sebenarnya berkait rapat dengan kehendak. Jika daripada kalangan orang yang berkemampuan tentu saja banyak pilihan boleh disenaraikan sebelum memiliki berbanding orang yang kurang berkemampuan. Namun mereka juga memerlukan kenderaan lalu memilih kenderaan yang sedakar mengikut kemampuan diri untuk memenuhi tuntutan keperluannya. 
Hatta kepada kepada kanak-kanak pun, jika perlu baginya sebuah basikal untuk ke sekolah kerana tiada perkhidmatan bas sekolah ditempatnya, maka ia juga menjadi satu keperluan untuknya. Di sini kita dapat melihat berkehendakkan untuk memiliki kenderaan itu menjadi satu keperluan mengikut situasi dirinya.
Jika melihat perkara asas dalam kehidupan setiap manusia, makanan yang menjadi keperluan itu juga boleh menjadi sesuatu yang dianggap kehendak. Ini berlaku apabila wujud keinginan yang melampaui tahap keperluan seseorang dalam soal makanan. Ia berikutan tujuan mendapatkan makanan adalah untuk memberi kesihatan kepada tubuh badannya dengan mengikut kadar yang secukupnya.
Begitu juga dengan berpakaian. Keperluannya adalah untuk menutup anggota badan tanpa mengira jenis kain, warna dan potongannya. Ia menjadi kehendak apabila pakaian yang diingini itu melebihi dari apa yang sepatutnya dari sekadar perlu. 
Tidak kurang juga dengan tempat tinggal. Matlamatnya adalah untuk berlindung. Tetapi ia jadi sesuatu yang dianggap kehendak apabila rumah yang dimiliki itu mempunyai bermacam-macam kelengkapan rumah yang dilihat semua kelengkapan itu dapat membuat kehidupannya lebih selesa dan sempurna.
Maka jelas kelihatan setiap manusia itu mempunyai keperluan dan kehendaknya yang tersendiri. Walau apapun makna sesuatu keperluan kepada seseorang pastinya ia menjadi satu kemestian bagi manusia untuk memiliki sedangkan pada manusia lain ia bukanlah sesuatu yang perlu dalam kehidupannya. 
Berkehendak kepada seuatu itu tidak pula menjadi kesalahan, namuin pastikan ia tidak melampaui batas sekaligus mewujudkan sikap suka membazir selain bermegah-megah dengan apa yang dimiliki. Ini kerana Allah mengutuk orang-orang yang membazir dalam firmannya melalui surah al-Israk, ayat 27 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan dan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Kita sedia maklum bahawa Islam melarang keras umatnya mengamalkan cara hidup suka membazir dalam semua urusan kehidupan kita termasuk urusan yang berkaitan dengan perbelanjaan harta, pengurusan masa dan penggunaan tenaga. Perbuatan membazir merupakan satu tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak. Mereka seolah-olah lupa bahawa rezeki yang diperolehi itu sebenarnya kurniaan Allah S.W.T. Mereka menggunakan rezeki tersebut secara tidak wajar dan bukan pada tempat yang sepatutnya.
Ingatlah, apa yang dimiliki itu bukanlah hak mutlak baginya kerana semua itu tentu saja kurniaan daripada Tuhan yang Maha Penyayag dalam memberikan secebis nikmatnya kepada setiap diri manusia. Jika Dia mahu menarik semula apa yang dimiliki oleh seseorang mudah saja baginya. Jalan yang terbaik adalah bersederhana dalam kehidupan termasuk dalam aspek pengurusan perbelanjaan. Di dalam surah al-Furqan, ayat 67 Allah menggalakkan manusia untuk hidup bersederhana melalui berfirmannya yang bermaksud,  dan mereka yang apabila membelanjakan harta mereka tidak melampaui batas (tidak boros) dan tidak pula bakhil, tetapi (sebaliknya perbelanjaan mereka dalam keadaan betul dan sederhana antara kedua-dua cara (boros dan kedekut).”
 
Jadi, tugas sebagai manusia yang menjadi hamba-Nya tidak lain hanyalah menzahirkan rasa syukur ke atas setiap kurniaan-Nya. Kepada orang yang sentiasa bersyukur Allah telah menjanjikan sesuatu kepada mereka melalui firmannya di dalam al-Quran pada surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhan kamu memberitahu kepada kamu, sekiranya kita bersyukur Aku akan menambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu tetapi sekiranya kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sungguh pedih."


____________________________________________________________________

Artikel ini merupakan olahan semula untuk dihantar bagi menyertai pertandingan menulis tazkirah daripada artikel dahulu, Timbang tara antara keperluan & kehendak.

 

SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ SAHABAT SEJATI RASULULLAH




Islam pada hari ini tersebar ke seluruh pelusuk dunia tidak mungkin berlaku jika tidak kerana jasa Nabi Muhammad s.a.w. Disebalik kejayaan ini di belakang baginda telah berdiri seorang individu yang begitu kental dan semangat dalam turut serta menyebarkan dakwah baginda iaitu Saidina Abu Bakar. Beliau merupakan sahabat baginda yang sangat rapat dan amat memahami diri baginda. Persahabatan yang terbina sejak usia kanak-kanak membuatkan mereka saling faham-memahami di antara satu sama lain walaupun usia Saidina Abu Bakar lebih muda dua tahun daripada baginda. 
Sejak dari awal beliau telah mempetaruhkan jiwa dan raganya demi Islam. Beliau merupakan sahabat daripada kalangan lelaki dewasa pertama yang memeluk Islam. Tatkala menerima dakwah Rasulullah, beliau menerima tanpa banyak bicara dengan bersaksi dan  mengakui Allah adalah Tuhan yang esa. Tidak pernah beliau mempercayai Tuhan yang berbilang-bilang seperti mana kepercayaan masyarakatnya waktu itu yang mempunyai pelbagai Tuhan berupa berhala yang tersusun di sekitar kaabah. Beliau juga bersaksi sahabat yang dikenalinya sebagai al-Amin, iaitu yang boleh dipercayai adalah utusan Allah yang membawa cahaya kebenaran buat seluruh alam. Kerana menyakini ajaran Rasulullah jugalah beliau turut serta mengajak kaum kerabat serta masyarakat Mekah kepada Islam. Hasilnya ramai sahabat telah mendapat hidayah melalui tangannya seperti Saidina Uthman bin Affan dan Zubair bin al-Awwam.
Kepercayaan kepada kebenaran Islam yang dibawa Rasulullah tidak berbelah bahagi. Satu peristiwa yang berlaku pada tahun kesembilan kenabian dilihat sebagai satu percubaan untuk menggoyahkan keimanan Saidina Abu Bakar terhadap ajaran Rasulullah. Diwaktu masyarakat Mekah heboh dengan dakwaan Rasulullah yang telah melakukan perjalanan ke Palestin dan naik ke langit dalam masa satu malam semasa peristiwa Israk dan Mikraj, sekumpulan daripada kaumnya datang mengkhabarkan berita itu dengan anggapan beliau akan meraguinya seterusnya mendustakan apa yang berlaku terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Namun jawapan yang diperolehi amat mengejutkan mereka apabila sebaliknya Saidina Abu Bakar dengan sebulat hati terus membenarkan apa yang telah Rasulullah  lalui.
Keadaan ini telah membuktkan bahawa beliau seorang sahabat yang bukan sahaja setia dengan perjuangan Rasulullah bahkan berkeyakinan terhadap apa sahaja yang berlaku kepada baginda walaupun ia merupakan sesuatu di luar logik akal. Lalu dengan keyakinan inilah beliau telah digelar oleh Rasulullah sebagai as-Siddiq iaitu yang membenarkan. 
Sebagai sahabat dan teman yang hampir dengan diri Rasulullah, Saidina Abu Bakar sentiasa berada di sisi baginda dalam berdakwah kepada masyarakat Arab. Susah dan senang ketika berdakwah dirasakan bersama. Tatkala masyarakat Mekah mengasari dan mencela Rasulullah, Saidina Abu Bakar sentiasa ada mempertahankan baginda. Diwaktu ramai yang membencinya Saidina Abu Bakar adalah orang yang sangat menyanyangi baginda. Kebenaran Islam yang dibawa oleh sahabatnya itu tidak diakuinya dalam keadaan masyarakat Mekah menuduh baginda sebagai sesat dan memecahbelahkan kerukunan kaumnya. Malah baginya Islam itu membawa rahmat kepada seluruh kehidupan yang dapat merubah manusia daripada kehidupan jahiliyyah yang rosak akhlaknya kepada sistem kehidupan yang teratur dan sejahtera. 
             Saidina Abu Bakar dengan nama asalnya Abdullah bin Abi Quhafah sebenarnya berasal daripada keturunan banhsawan. Beliau juga merupakan seorang saudagar yang berjaya dan dihormati oleh masyarakat Mekah. Namun kerana sayangkan Rasulullah dan menyakini Islam agama yang benar beliau sanggup mengorbankan hartanya demi memperjuangkan Islam. Sebahagian hartanya turut digunakan untuk menebus orang-orang yang dtawan dan disiksa yang kebanyakannya adalah dari kalangan hamba yang diseksa tuannya kerana memeluk Islam. Selain danpada itu beliau juga telah membeli hamba-hamba yang kemudian dimerdekakannya. Salah seorang hamba yang dibelinya lalu kemudian dibebaskan yang paling terkenal dalam sejarah ialah Bilal bin Rabah.  

Pernah semasa di Madinah, Rasulullah telah menyeru kepada seluruh kaum muslimin agar mengorbankan hartanya pada jalan Allah sebagai persiapan berperang di Tabuk. Peperangan ini bertujuan untuk menentang tentera Rom yang ingin menawan wilayah di bawah pemerintahan Islam. Tiba-tiba datanglah Saiyidina Abu Bakan  membawa seluruh harta bendanya lalu menyerahkan kepada baginda.. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Saiyidina Saidina Abu Bakar, Rasulullah menjadi terkejut lalu berkata kepadanya.
"Wahai sahabatku yang budiman, kalaulah semua harta bendamu telah engkau serahkan,  apa lagi yang engkau tinggalkan buat isteri dan anak-anakmu?”
Mendengarkan pertanyaan Rasulullah itu, Saidina Abu Bakar hanya tersenyum. Dengan tenang beliau menjawab. "Sesungguhnya apa yang aku tinggalkan buat mereka adalah Allah dan RasulNya.” 
            Atas dasar persahabatan, Saidina Abu Bakar amat menyayangi Rasulullah  dengan sepenuh jiwa dan raganya. Tatkala Rasulullah memenuhi perintah Allah untuk berhijrah ke Yathrib, nilai-nilai persahabatan semakin terserlah apabila baginda ditemani oleh Saidina Abu Bakar selaku sahabat yang paling dipercayai. Perjalanan yang penuh ranjau tidak dirasakan peritnya apabila ada peneman disepanjang perjalanan. Saidina Abu Bakar menjaga Rasulullah dengan sepenuh hatinya dengan tekad agar perjalan mereka selamat hingga ke destinasi. Namun, perjalanan hijrah mereka disedari oleh golongan musyrik Mekah lalu operasi dilancarkan sebagai usaha menjejaki Rasulullah dan sahabatnya itu. Sebagai startegi mereka berdua telah bersembunyi di gua Thur selepas keluar dari kawasan Mekah yang berada lima kilometer daripada kawasan kota Mekah. 
Persembunyian di dalam gua yang jauh dan terasing selama tiga hari itu turut menyerlahkan lagi sifat prihatin dan kasih sayang Saidina Abu Bakar terhadap Rasulullah. Bahkan keluarganya juga dilatih dan dilibatkan sama agar turut berkorban demi perjuangan yang dibawa oleh baginda. Anak perempuannya, Asma setiap hari menyediakan bekalan makanan hingga digelar zatun nitaqaini kerana mengikat dua tali di pinggangnya untuk membawa makanan. Sementara anak lelakinya, Abdullah pula berperanan sebagai ejen yang mengintip dan mengumpul maklumat keadaan semasa di Mekah terutama perkara yang melibatkan dakwah Islam dan hijrah Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Semua ini dilakukan agar perjalanan ke Yathrib kelak berjalan dengan lancar. 
Semasa Rasulullah tidur dipangkuan sahabatnya ketika masih berada di dalam gua Thur, tiba-tiba Saidina Abu Bakar menyedari terdapat seekor ular yang terdapat pada salah satu lubang yang ada di dalam gua itu. Bimbang ular itu akan keluar dan mencederakan Rasulullah  beliau lantas menutup lubang itu dengan ibu jari kakinya. Tidak disangka-sangka ular itu mematuk pula kakinya selepas lubang itu ditutup.  Sedaya upaya beliau menahan kesakitan akibat patukan ular itu. Air matanya berlinangan namun sedikit pun beliau tidak mengeluarkan suara supaya tangisannya itu tidak mengganggu lena Rasulullah .
Begitulah sifat kasih Saidina Abu Bakar sebagai seorang sahabat kepada seorang utusan Allah yang sanggup mengorbankan jiwa dan raganya. Keselamatan Rasulullah  sentiasa menjadi keutamaan walaupun dirinya sendiri mengalami penderitaan. Keimanannya kepada Allah dan rasulnya tidak berbelah bahagi sehingga pernah baginda bersabda. "Jika ditimbang iman Saidina Abu Bakar dengan iman seluruh umat Islam, maka berat lagi iman Saidina Abu Bakar.”
Saidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang terkenal kerana keteguhan iman, kemuliaan akhlak dan kecerdasan akalnya. Pemilihan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah Islam yang pertama selepas kewafatan nabi dilihat satu keputusan yang tepat. Hubungannya yang erat dengan Rasulullah  dan peranannya yang besar dalam perjuangan nabi membuatkan masyarakat Islam waktu itu menerima Saidina Abu Bakar sebagai pemimpin mereka. 
Persahabatan antara Rasulullah   dengan Saidina Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Pernah suatu ketika Rasulullah  mengungkapkan ucapan penghargaan kepada sahabatnya. “Semoga Allah merahmatimu. Engkau adalah sahabatku. Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah menenteramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh-kesah. Sesungguhnya tiada sesiapa yang dapat menyamaimu, biar apa pun yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang telah dibuat olehmu.”

Isnin, Oktober 10, 2011

KAKITANGAN AWAM & KERJA SAMPINGAN: Satu Keperluan?



Setiap orang mengimpikan kedudukan kewangan yang kukuh dan stabil. Bagi merealisasikan hasrat tersebut ramai orang berlumba-lumba mencari sumber bagi menjana pendapatan tambahan. Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan. Keadaan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing yang berlaku dalam situasi masyarakat malaysia pada hari ini.
Situasi ekonomi yang berlaku ini telah menyebabkan kebanyakan masyarakat terasa dengan beban inflasi kenaikan harga barang. Lebih-lebih lagi terdapat kira-kira 45 peratus daripada 1.2 kakitangan awam yang kebanyakannya bekerja di bandar tertekan dengan kos sara hidup tinggi sehingga ada yang terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan (Sazarina 2009).   
Merujuk kepada isu yang berbangkit pada tahun 2008, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diminta supaya membuat keputusan segera bagi membenarkan pekerja kumpulan sokongan melakukan kerja sambilan selepas waktu pejabat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata ia sebagai penyelesaian tetap atau jangka panjang dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang (Bernama 2008).  
Dalam keadaan ekonomi yang agak kurang memberangsangkan dan ditambah dengan harga barang yang tinggi dan meningkat sentiasa, rakyat malaysia terutamanya kakitangan awam melibatkan diri dengan kerja sambilan. Dari segi undang-undang tidak salah untuk kakitangan awam bekerja sambilan tetapi dengan syarat tidak mengganggu kerja utama bagi kakitangan awam tersebut (Woon 2008).
Ramai yang berfikiran bekerja sebagai kakitangan kerajaan menjanjikan gaji yang baik walaupun ramai yang menyedari bekerja dengan sektor swasta menjanjikan pendapatan yang agak lumayan, seperti bonus bulanan dan keistimewaan lain. Ini disebabkan ada anggapan bahawa bekerja di sektor kerajaan sememangnya stabil kerana tiada pemberhentian kerja di waktu-waktu yang kritikal berbanding mereka yang bekerja di sektor swasta di mana kakitangan kerajaan tidak perlu runsing bila berlakunya kegawatan ekonomi (Zulkiple Ibrahim 2007).
Namun demikian apa yang sebenarnya berlaku ramai daripada kalangan kakitangan awam dikategorikan miskin walaupun tinggal di bandar. Contohnya Pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.Tengku Adnan mendapati hampir 50 peratus atau kira-kira 20,000 daripada lebih 40,000 penjawat awam terutama mereka yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di jabatan kerajaan di sini menghadapi masalah kemiskinan bandar kerana mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan (Haika 2011).
Oleh yang demikian sebagai jalan keluar kebanyakan golongan seperti ini telah mengambil alternatif untuk menambahkan pendapatan mereka melalui kerja sambilan dengan harapan pendapatan yang diperolehi itu dapat menampung kos kehidupan mereka. 
Tetapi dengan adanya pengumuman YAB PM mengenai pelbagai intensif yang diberikan kepada kakitagan awam  pada pembentangan bajet yang lepas, adakah perlu lagi kakitangan awam untuk mencari punca rezeki sampingan untuk memberi keselesaan kepada kehidupan mereka...?


Selasa, Oktober 04, 2011

HaFYS: Alat Pengesan DNA Babi


Alat HaFYS kesan DNA babi dengan tepat, bantu pastikan restoran tepati piawaian Syariah.

AWAL minggu ini, umat Islam digemparkan dengan berita sajian tidak halal yang disediakan kebanyakan kopitiam di negara ini. Pendedahan itu yang menyusuli laporan mengenai pasar raya menjual ayam tidak disembelih dengan sempurna, hanya mencetuskan kebimbangan ramai yang sudah pasti amat sensitif dengan isu halal haram makanan ini. Persoalannya, selain logo halal disahkan kerajaan, apakah ada cara lain dapat membantu menangani isu ini, khususnya mengesan kehadiran unsur babi dalam makanan? Jawapannya - alat HaFSY atau sistem pengesahan halal yang dibangunkan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM). Malah, pada tempoh terdekat ini, jika melihat pegawai agama atau anggota penguatkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membawa alatan berwarna hitam seperti pembakar roti, memasuki mana-mana restoran, kilang atau kedai runcit, jangan tersalah sangka, ia bukan untuk dijual sebaliknya itulah HaFSY.

Alat itu sebenarnya adalah pengesan produk halal atau haram melalui pengesanan dan pengesahan Deoxyribonucleic Acid (DNA) yang dikhaskan bagi menentukan sesuatu produk mengandungi DNA babi atau tidak. Ia dibangunkan IPPH selama lebih setahun yang terbukti berkesan, pantas mendapatkan keputusan dan mudah dibawa ke mana-mana. Berbanding kaedah kajian sebelum ini, sampel produk akan dibawa ke makmal untuk dikaji dan keputusan paling cepat akan diperoleh selepas dua hari. Kini, ia cuma diperoleh dalam masa satu jam untuk menentukan produk mengandungi DNA babi atau tidak. Bersesuaian moto produk HaFYS iaitu ‘one step, one button, one hour’ (satu langkah, satu butang, satu jam) sudah menceritakan kelebihannya. Ia bermaksud pengguna boleh mengenal pasti atau mengesan kehadiran DNA babi dengan satu langkah penyediaan saja, menekan butang pada mesin PCR dan keputusan sama ada positif atau tidak boleh diperoleh dalam masa satu jam.

Bak kata Pengarah IPPH, Prof Dr Yaakob Che Man, melalui penggunaan produk itu, sesiapa saja boleh menguji sesuatu produk tanpa memerlukan kelayakan dalam bidang kajian DNA.“Ustaz pun boleh buat, ia cukup mudah. Kita tak perlukan saintis untuk buat kerja pengesahan ini kerana keputusan yang diperoleh melalui alat ini tepat dan terbukti. Hanya masukkan sampel produk ke dalam alat kajian dan tunggu keputusan dalam masa sejam.  “Sesiapa saja boleh menggunakannya dan itulah matlamat ini supaya orang ramai sentiasa peka dengan produk halal atau haram dan satu daripadanya adalah melalui ujian saintifik makmal menggunakan produk HaFYS,” katanya

Menurutnya, sebelum ini, ramai pengguna yang tidak tahu atau tidak faham apa yang dikatakan DNA iaitu bahan baka di dalam tubuh manusia dan hampir semua organisma lain. Maklumat dalam DNA disimpan sebagai kod yang terdiri daripada empat asas kimia iaitu Adenine (A), Guanine (G), Citosin (C), dan Thiamin (T).  Jika dibuat kajian saintifik terhadap sesuatu produk dan ada jujukan atau urutan DNA daripada sumber haram dan sepadan dengan rekod DNA babi, secara automatik ia akan menunjukkan laporan positif. Begitu juga sekiranya ada DNA dari haiwan lain yang haram dimakan mengikut syarak.Dr Yaakob menjelaskan, IPPH menjalankan penyelidikan mengikut kaedah penentuan kehadiran DNA daripada spesis haiwan yang tidak halal seperti babi bagi mengesahkan kehadirannya.

“Kami reka bentuk primer dan ‘probe’ (alat siasatan) sepadan dengan jujukan DNA babi. Seterusnya analisis lanjut Polymerase Chain Reaction (PCR) atau Ujian Tindakan Rantai Polimeris, dijalankan bagi menentukan sama ada wujud DNA babi dalam sesuatu produk halal. Hanya ada dua keputusan tepat iaitu positif atau negatif,” katanya.  Menurut Dr Yaakob, HaFYS bukan saja direka untuk mengesan unsur DNA babi dalam makanan tetapi berkesan dalam kajian terhadap pakaian, barangan kosmetik. Apa saja yang mempunyai unsur DNA babi walaupun dalam jumlah yang terlalu kecil, boleh dikesan menggunakan alat berkenaan.Setakat ini, IPPH hanya memfokuskan kepada alat pengesanan kehadiran unsur DNA babi dan kini membangunkan kaedah sama mengesan kehadiran unsur alkohol.

Banyak pihak dikatakan mempunyai alatan PCR dalam menjalankan kajian makmal, tetapi produk HaFYS yang lebih terperinci diakui satu satunya produk di dunia yang dikhaskan kepada mengesan DNA babi. “Dalam aspek sains, produk halal merujuk kepada kualiti yang baik (toyyibat) bermaksud produk itu selamat, bersih, berkhasiat, tidak memberi kemudaratan serta sesuai dengan fitrah manusia yang memerlukan benda yang baik.“Dalam erti kata lain, konsep ‘halalan toyyiba’ seperti yang terkandung dalam Al Quran menepati makna sebenar produk halal. Menjadi tanggungjawab kami membantu umat Islam mengenal pasti produk halal atau haram dan menjadi tanggungjawab masyarakat menyedari hak mereka,” katanya.Ketika ini produk ini yang mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat di Utah, Amerika Syarikat sudah pun diluluskan dan bersedia memasuki pasaran tempatan serta antarabangsa.

'Berpotensi jadi kaedah piawaian antarabangsa'
PRODUK pengesan produk halal atau haram melalui pengesahan Deoxyribonucleic Acid (DNA), HaFYS (Halal Verification System) berpotensi dipasarkan serta digunakan di seluruh dunia berdasarkan kaedah penggunaannya yang tepat dan mudah. Ketika ini, produk hasil kajian dan penyelidikan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sudah mula diperkenalkan di serata dunia termasuk kepada 80 peserta luar negara mewakili agensi persijilan halal sempena MIHAS 2010, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah IPPH merangkap penyelidik, Prof Madya Dr Shuhaimi Mustafa, berkata pihaknya banyak bekerjasama dengan negara luar termasuk Thailand, Indonesia dan Turki dalam usaha mengenengahkan penggunaan HaFYS.Kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berperanan penting dalam menentukan status produk halal dilihat sebagai peluang keemasan untuk memantapkan penggunaan produk halal di peringkat tempatan dan luar negara.“Kami mempunyai hubungan erat dengan JAKIM dan bekerjasama memberikan penerangan dan melatih pegawai mereka dalam aspek analisis saintifik serta menerima banyak sampel yang dikategorikan sebagai was-was untuk dianalisis.

“IPPH cukup yakin, melalui JAKIM, produk HaFYS ini berpotensi menjadi kaedah standard dan boleh digunakan di seluruh dunia. Walaupun JAKIM mengeluarkan cop Halal tetapi bagaimana kita nak pastikan produk mereka betul betul halal,” katanya. Selain itu, IPPH turut menganggotai banyak jawatankuasa di JAKIM serta bertanggungjawab melatih pegawai agensi itu dalam aspek analisis saintifik serta menerima banyak sampel yang dikategorikan sebagai was-was untuk dianalisis. Katanya, kaedah penggunaan produk itu dilihat menepati cita rasa masyarakat kerana pengguna hanya perlu memasukkan sampel kecil produk ke dalam tabung kecil sebesar batang pen sebelum meletakkannya ke dalam pemegang khas.

“Sampel itu dimasukkan ke dalam tabung kecil yang mengandungi semua bahan kajian, ia akan mengesan sebarang unsur DNA babi. Itulah yang membezakan produk ini kerana PCR kami adalah satu satunya mesin mempunyai ‘primer dan probe’ yang khas untuk DNA babi,” katanya.Beliau turut memberikan contoh bagaimana ikan patin dan ikan keli yang didakwa diberi makanan bercampur unsur babi boleh dikesan sama ada mempunyai DNA haram atau tidak dengan cara mengkaji salah satu daripada sampel makanan, perut ikan, air kolam, lendir pada ikan dan lumut. Dalam erti kata mudah, produk HaFYS akan dapat mengesan dengan tepat jika terdapat anggaran unsur DNA babi dalam sebarang produk dengan catatan bacaan 0.001 peratus ataupun satu auns (0.04 gram) bagi setiap satu kilogram.

Kesimpulannya, dalam konteks sains, produk halal merujuk kepada kualiti yang baik (toyyibat) bermaksud produk itu selamat, bersih, berkhasiat, tidak memberi kemudaratan serta sesuai dengan fitrah manusia yang memerlukan benda yang baik. Itu bermakna konsep ‘halalan toyyiba’ seperti yang terkandung dalam al-Quran menepati makna sebenar produk halal yang tidak perlu diragui.


Info

Kaedah lain mengesan unsur haram

· Protein (ELISA)
· Lemak (Kromatografi, FTIR)
· Electric Nose
· Alkohol (GC)

Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH)

· Ditubuhkan tahun 2005 dengan nama Institut Produk Halal
· Ditukar nama kepada IPPH pada 2006
· Skop kajian:
  1. Makanan
  2. Pakaian
  3. Kosmetik
· Produk HaFYS pernah memenangi Anugerah Harta Intelek Negara 2009.

Produk HaFYS
  • Setiap mesin bernilai RM50,000
  • Satu cartridge bernilai RM200
  • Berat maksimum mesin: 4 kilogram
  • Hampir sama dengan teknologi mengesan denggi, malaria dan influenza.
  • Mempunyai primer dan probe yang pertama di dunia

___________________________________________________

dipetik dari sumber Halal UPM.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.