Carian Daripada Blog Ini

Ahad, November 06, 2011

MANIFESTASI DARI SEBUAH PENGORBANAN AGUNG



Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana buat kesekian kalinya kita dapat merayakan Aidil Adha bagi tahun 1432 hijriah. Hari ini yang turut disebut dengan Hari Raya Qurban adalah hari untuk kita memanifestasikan pengertian sebuah pengorbanan. Secara literalnya sememangnya bila mana tibanya Aidil Adha ibadah khusus bagi masyarakat Islam adalah menyembelih binatang ternak sebagai tanda korban. 

Ibadah korban adalah satu tuntutan bagi memperingati dan menyusuri kisah sebuah pengorbanan Nabi Ibrahim yang secara paksa rela bertekad untuk mengorbankan anaknya melalui mimpi yang menggambarkan baginda menyembelih anaknya, Ismail. Sebagai ayah yang menyayangi si anak tentu sahaja perkara itu begitu sukar buatnya. Namun kerana itu arahan Allah tentu sahaja ianya perlu dilaksanakan. 

Tekad Nabi Ibrahim sebagai ayah yang menyayangi anaknya turut mengikat keyakinan si anak yang menjadi objek sembelihan seperti sarananan di dalam mimpi ayahnya. Tatkala Nabi Ibrahim meluahkan rasa hairan dengan ulangan mimpi itu kepada Ismail, tidak timbul riak kerisauan mahu pun kemarahan dari hatinya. Dengan lembut ayahnya diyakinkan bahawa pastinya itu perintah Allah yang wajib ditunaikan. Hati si ayah yang bergelodak ditenangkan dengan pelbagai kebarangkalian hikmah yang bakal muncul daripada saranan mimpi. 

Bagi pihak Siti Hajar sebagai ibu kerisauan jelas terpancar diwajahnya. Terfikir di benaknya masakan itu arahan daripada Allah. Namun melihat keyakinan anaknya dan kepasrahan suaminya yang meyakini memang ianya arahan daripada Tuhannya maka hatinya meredhakan akan apa yang bakal berlaku. Tambahan pula ini bukanlah ujian hebat yang dilaluinya malah sebelum itu pun dirinya pernah ditinggalkan bersama-sama Ismail yang masih bayi ditengah-tengah padang pasir yang tandus tanpa penghuni dan sumber makanan. Jadi, ujian yang bakal dihadapi ini mungkin saja akan ada hikmah disebaliknya seperti mana kebaikan yang diperolehi sepeninggalan suaminya suatu ketika dulu.

Keyakinan ketiga-tiga individu sekelurga itu dapat dilihat satu pengorbanan agung dan besar. Mengikut logik mana mungkin akan ada arahah yang dianggap gila sesetengah orang untuk seorang ayah mengorbankan anaknya. Tidak mungkin juga akan ada seseorang yang sanggup berkorban untuk melalui detik-detik cemas dikorbankan oleh orang tersayang. Juga jauh sekali aka nada seorang ibu yang pasrah membiarkan anaknya diperlakukan sedemikian rupa. Namun kolaborasi keyakinan mereka membuahkan satu hikmah yang jauh lebih hebat sehingga meninggalkan kesannya sehngga ke hari ini.  

Apa yang dapat dilihat, sesuatu yang berharga dan disayangi menjadikan kita tidak sanggup kehilangannya bahkan seboleh-bolehnya mempertahankannya daripada rosak dan musnah. Sesuatu yang berharga dijaga dengan baik mungkin melebihi diri sendiri dan perkara-perkara lain pula dikesampingkan. Namun bagi Nabi Allah Ibrahim mimpi berulangan sebanyak tiga kali tidak lagi menjadi keraguan baginya. Malah menyakini itu adalah perintah allah yang pastinya ada hikmah terkandung atas arahan yang diberikan. 

Sifat yakin Ismail atas arahan Allah itu menunjukkan rasa taat dan pasrah yang tinggi kepada Tuhannya. Tidak sesekali perintah itu disanggah walaupun menyedari dirinya bakal dikorbankan dari tangan ayah yang menyayanginya sendiri. Keberanian ini timbul hasil daripada sifat taqwa dan yakin dengan apa yang telah ditakdirkan dalam hidup. Andai kata keyakinan kepada Allah itu kuat dan utuh apa sahaja yang menimpa dalam hidup akan sentiasa dilalui dengan sabar dan redha. 

Pasrahnya Siti Hajar jelas memperlihatkan kekuatan rohaninya dalam menerima ujian Allah. Bukan tiada sifat keibuan terserlah darinya namun beliau tetap menyakini betapa kasih sayang Allah lebih luas dari apa yang dimiliki. Kebergantugan itu menjelaskan bahawa kebesaran allah itu luas dengan segala kehebatannya yang berkuasa atas segala apa yang dimiliki. Sebagai manusia yang menjadi ciptaan-Nya, terpulanglah pada Allah untuk menentukan apa yang terbaik buat diri hamba-hamba-Nya. Tugas sebagai manusia ke atas Khaliqnya hanyalah menuruti apa yang diperintahkan dan menjauhi segala larangan-Nya.

          Dengan demikian sebagai umat islam yang mengakui akan keagungan Allah perlulah sentiasa meletakkan asas keyakinan kepada Tuhan melebihi daripada segala-galanya. Melalui keyakinan jugalah sebuah pengorbanan dapat dilakukan. Mengorbankan sesuatu yang disayangi, atau sanggup berkorban demi sesuatu yang dicintai, atau juga melihat sebuah pengorbanan yang dapat menyucikan diri menjadikan ia sebagai landasan dalam membuktikan keikhlasan dan rasa kehambaan kepada Allah. Apa yang berlaku dan dilalui oleh kita juga pasti mengandungi hikmah yang besar. Tatkala kita merancang sesuatu jangan dilupa perancangan Allah jauh lebih hebat kerana Dialah satu-satunya sebaik-baik Perancang. 



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.