Carian Daripada Blog Ini

Selasa, Disember 25, 2012

DUNIA BELUM KIAMAT


Dunia belum kiamat. Ya, kenyataan itu adalah sebahagian daripada kata-kata yang diucapkan oleh individu-individu yang menjadi penunggu kepada tarikh yang diramalkan bakat mengakhiri dunia iaitu pada 20/12/2012. Jelas, ramalan itu meleset sama sekali. Amatlah malang, dilaporkan dalam media antarabangsa, terdapat sebilangan individu yang bertindak membunuh diri semata-mata tidak sanggup menghadapi saat-saat penamatan dunia seperti yang tercatat dalam kalendar kaum Mayan. Tetapi, pada akhirnya situasi itu tidak lagi berlaku pada tarikh itu. Sekian banyak ramalan yang dibuat sebelum ini oleh pelbagai pihak, mengapa masih ada yang mahu mempercaya?

Bagi yang beriman, sedari awal telah meyakini akan pengakhiran dunia ini tidak langsung diketahui oleh mana-mana makhluk setepatnya. Melalui rukun iman yang kelima, jelas menunjukkan kepercayaan untuk meyakini adanya hari kiamat, namun tidak pula dituntut untuk mempercayai bilakah masanya kiamat itu. Malah perkara yang di luar pengetahun makhluk merupakan dalam pengetahuan Allah semata-mata. Walaupun hari kiamat itu bersifat ghaib sama seperti adanya kewujudan syurga, neraka, malaikat, iblis, roh dan sebagainya, sebagai manusia beriman kepercayaan 100% adalah perlu sebagai tanda mengimani ketauhidan Allah Yang Maha Kuasa. Keraguan walau 1% terhadap perkara-perkara ghaibiyat ini boleh jadi dapat menjejaskan aqidah seseorang. 

Namun, sebaliknya bagi yang tidak beriman dengan hari akhirat, mereka sekadar tersenyum seolah-olah memerli mereka yang percaya dengan adanya hari kiamat, apatahlagi akan tarikh ramalan kiamat itu. Pada mereka, dunia ini kekal selama-lamanya, dan hidup mati seseorang pula adalah satu kitaran hidup yang normal dan biasa. Kerana itulah dapat diperhatikan golongan yang begini akan hidup bebas sebebas bebasnya mengikut kemahuan hatinya. Perkara baik dan buruk tidak diperdulikan. Yang hak dan batil tidak diambil perhatian. Yang halal dan haram apatahlagi, semua bercampur aduk dalam kehidupan mereka. Gejala ini tidak berlegar dalam kalangan mereka yang tidak mempercayai adanya Tuhan, tetapi pada yang mengaku masih bertuhan, tetap menjalani hidup seperti orang yang tiada pedoman. Mengaku bertuhan dan beragama terhad kepada beberapa keadaan dalam kehidupan mereka sedangkan bagi umat Islam secara khusus, kehidupannya haruslah berjalan mengikut rentak agama setiap masa. Tidakkah mereka menyedari Islam yang bertapak dalam hatinya itu adalah sesyumul-syumul agama yang merentas sempadan masa, waktu, tempat dan zaman? Walau pun ramai yang mengetahui, apa yang berlaku kebanyakkannya terlupa dengannya. Maka, kehidupan mereka dilihat sama sahaja dengan manusia-manusia lain yang tidak mengesakan Allah pada akhirnya.

Apa pun keadaannya, bagi masyarakat muslim yang bijak, ramalan itu walau pun ditolak, tidak pula berterusan diperlekehkan. Menerusi hadith-hadith nabi, kronologi pengakhiran dunia jelas dinyatakan. Tanda-tanda akhir zaman satu persatu telah dihuraikan oleh ramai ulama silam dan semasa. Alamat-alamat kiamat yang kecil dan besar juga telah disyarahkan sejak lama dahulu. Jadi, mengapa harus diabaikan apa yang telah ditetapkan Allah melalui lidah baginda Rasulullah? Sebelum terus memusatkan fikiran kepada hari kiamat, perlu dilihat dahulu signal-signal yang ada satu persatu. Pada yang mencari kebenaran, kesemua tanda-tanda ini akan dijejaki satu-persatu tanpa mengabaikan apa-apa kemungkinan yang terjadi pada persekitarannya. Walau pun begitu, ramai pula masyarakat yang memperlekeh golongan yang berusaha mengamati apa yang telah Allah dan rasul nyatakan. Yang mengahairankan, masyarakat yang mendakwa mengamalkan al-Quran dan al-Suannah pun turut mempermain-mainkan golongan itu sedangkan mereka sepatutnya tidak bersifat sedemikian terutamanya bagi golongan ulama semasa merekalah yang sepatutnya terkehadapan dalam menyusurinya. Untuk berdiam diri sahaja mungkin satu tindakan yang baik untuk masyarakat muslim awam, tetapi yang bijak pandai dalam agama, itu bukanlah sifat seorang yang ada pendidikan dan ilmu pengetahuan.

Bagaimana pun, bulakah masanya kiamat itu berlaku bukanlah isu utama dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Keimanannya kepada Allah perlu dipertingkatkan dan aqidah selaku umat Islam perlu dimantapkan dari semasa ke semasa. Tidak perlu menyibukkan diri dengan ramalan-ramalan yang ada tanpa berbuat sesuatu yang membawa diri ke arah persediaan memperbaiki diri untuk menghadapi Tuhan-Nya. Tentu sahaja inilah antara golongan yang muflis di akhirat sedangkan sebagai muslim tiket untuk mendapat kebaikan di akhirat sangat terbentang luas. Selagi masih ada umur dunia ini, berterusanlah memastikan diri berada di landasan-Nya. Tetapi jangan pula menganggap umur dunia ini lama lagi, kerana apa yang perlu diingatkan adalah umur diri sendiri yang belum tentu lama atau sebentar lagi. Boleh jadi, sebelum datangnya kiamat dunia, kiamat diri pula menyusul dahulu. wallahu a'lam.




Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.