Carian Daripada Blog Ini

Sabtu, September 26, 2009

:: SALAH FAHAM RUMAH TERBUKA ::

Seminggu Syawal seakan pantas berlalu. Rata-rata yang bercuti 10 hari seolah-olah belum puas meraikan aidilfitri. Kanak-kanak yang keriangan seakan-akan lupa sekolah bakal menjelang sehari lagi. Penangan raya nampaknya meninggalkan impak yang besar. Buktinya, akan ada jemputan-jemputan rumah terbuka sebaik kaki melangkah ke tempat kerja daripada rakan sejawat. Tak kurang ada juga yang sudah berkira-kira di kepala ingin menganjurkan majlis sebegitu rupa. Maka tarikh demi tarikh di'booking' disepanjang hujung minggu syawal. Harapan agar tetamu datang bertandang pada hari berkenaan amat tinggi.

Penganjuran rumah terbuka kelihatan satu aktiviti yang baik. hikmah yang selalu dicanangkan - mengeratkan silaturrahim - seolah-olah benar wujudnya keadaan yang sedemikian. Namun, sejauhmana ukhwah antara tuan rumah dengan tetamu serta tetamu dengan tetamu bertaut tatkala semuanya dalam kesebokan menjamu selera? Tuan rumah tentunya tidak berkesempatan melayan kesemua tetamu yang bertali arus bertandang ke rumahnya. Sesama tetamu pula ada yang saling mengenali akan bersembang diantara mereka. yang tidak dikenali dibiarkan bersama yang lain. Ia berikutan konsep rumah terbuka itu berjalan dalam tempoh waktu yang ditetapkan dalam sekian waktu di mana tetamu bebas datang dan pergi dalam tempoh itu.

Konsep ziarah menziarahi dalam program seumpama ini seolah-olah tidak terterap sepenuhnya. Apa yang menjadi matlamat selaku tuan rumah, hanya menginginkan tetamu yang datang merasai aneka juadah yang disediakan. Cuba bayangkan, andai tiada penganjuran rumah terbuka, tentu tetamu itu hanya dihidangkan dengan biskut dan air sejag semata-mata! Tetamu itu hanya akan 'bernasib baik' andai kehadirannya dimaklumi tuan rumah seawal dari itu yang tentu sahaja menyediakan aneka hidangan buatnya.

Hakikatnya, ziarah menziarahi di aidilfitri bukanlah tertumpu pada hidangan semata-mata. Bertanya khabar dan berbalas kemaafan adalah pokok utamanya. Seringkali ramai yang bersalah fahaman betapa ziarah di aidilfitri hanya 'available' jika dimaklumkan terlebih dahulu. Malah ada yang menyalah ertikan konsep rumah terbuka itu adalah majlis makan dan parti sosial sehingga timbul perasaan riak dan bangga diri dalam segala aspek persiapan dari sudut tatarias rumah, makanan dan sebagainya. Malah lebih teruk ada yang akan ungkit mengungkiti andai ada yang tidak datang ke majlisnya sehingga tidak mahu pula ke majlis orang itu.

Lihat, kesucian Aidilfitri telah tercemar dengan pemahaman minda yang tidak tepat berkenaan dengan konsep ziarah-menziarahi. Alangkah baiknya semuanya berjalan dengan sederhana tanpa adanya lampauan pembaziran di akhirnya. Jangan pula melupakan makhluk 'perosak' yang terpenjara sebulan sepanjang Ramadhan. Misi merosakkan iman manusia tetap berterusan dari segenap aspek. Berakhirnya ramadhan, kehidupan biasakan bermula seperti biasa.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.