Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara menjadi tema kepada sambutan Hari Guru bagi tahun 2011. Melihat kepada tema ini seakan-akan memperlihatkan guru itu berperanan besar kepada Negara. Ya, sememangnya guru berperanan besar dalam menjadi perantaran antara pihak kerajaan dan masyarakat. Sifatnya sebagai ejen yang berada di tengah-tengah masyarakat menjadi mudah untuk menerapkan dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada seluruh rakyat.
Mengambil contoh mudah, seorang anak yang ditegur ibu bapanya semasa menyiapkan kerja sekolah, si anak tetap mempertahankan apa yang diperolehi daripada gurunya di sekolah, sedangkan mungkin ibu bapanya juga adalah seorang guru. Jadi, maksudnya, segala kata-kata guru menjadi kepercayaan orang sehingga apa yang lahir dari mulutnya dianggap semuanya benar.
Betapa hebatnya kuasa seorang guru yang dapat mempengaruhi masyarakat. Maka daripada seorang ejen guru menjadi penjana transformasi pendidikan yang berlaku. Sama ada guru suka atau tidak dengan transformasi yang dilakukan ia bukan soal utama. Situasi dirinya sebagai orang kerajaan membuatkan guru tidak punya pilihan selain berperanan dalam memastikan segala mesej-mesej kerajaan terutamanya dalam aspek pendidikan sampai kepada sasaran.jelas menunjukkan kerjaya guru ini melampai sempadan. Tidak sahaja mengurus bilik darjah dan melaksanakan pengajaran & pembelajaran di kelas, tetapi tanggungjawabnya yang menjadi alat menyampaikan mesej kerajaan terlaksana secara langsung atau tidak di dalam situasinya sebagai guru yang terbelenggu dengan pelbagai tugas di luar bilik darjah.
Tetapi sebenarnya adalah tidak adil mempergunakan guru-guru tanpa pembelaan sewajarnya. Maksudnya keperluan untuk memenuhi kehendak guru perlu ada. Walaupun mereka adalah orang bawahan, tetapi status mereka sebagai guru itu kelihatan lebih tinggi sedkit tarafnya di tengah-tengah masyarakat. Suara keluh kesah yang timbul harus didengari. Setiap masalah yang diadu perlu diteliti dan diambil perhatian wajar. Sudahlah mempergunakan tenaga dan idea guru semaksimanya, takkan pula bila mana ada isu yang membabitkan keperluan guru semuanya ditolak tepi. Jika kerajaan meneydari betapa pentingnya peranan guru kepada mereka, sesuatu harus dilakukan supaya ia mendatangkan faedah dikedua-dua belah pihak.
Diharapkan bersempena dengan sambutan Hari Guru buat kali ke-40 bagi tahun 2011 pihak kerajaan dapat memberikan berita gembira buat seluruh warga pendidik di seluruh negara. Kepada guru-guru, pastikan niat anda masih jelas dan lurus dalam memastikan status guru itu relevan untuk dimuliakan oleh semua pihak. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
2 ulasan:
Salam Emi. Kupasan yang sangat menarik!
terima kasih.. :P itu hanya dari pandangan saya saja..
Catat Ulasan