Carian Daripada Blog Ini

Isnin, Mei 30, 2011

Peranan Ulama Dalam Merealisasikan Islam Agama Rahmat


Nabi Muhammad menjadi utusan di dunia ini dengan membawa rahmat ke keseluruh alam. Bukan selaku utusan biasa-biasa yang sekadar membawa risalah Tuhan dengan mengingatkan baik buruknya sesuatu. Bahkan peranannya lebih besar lagi dengan membawa khabar baik dan peringatan buat seluruh umatnya. Perutusannya tepat pada masanya tatkala Tanah Arab kala itu berada dalam kegelapan hati dalam mengenal siapakah Tuhan yang sebenar. Lantaran Tuhan tidak dikenali serta dihayati matlamat manusia untuk bertuhan, maka terjadilah perkara-perkara mungkar melingkari masyarakat Arab.
Lalu tatkala hadirnya Nabi Muhammad, seluruh alam seolah-olah kembali bersinar terang dengan cahaya petunjuk yang dibawa. Masyarakat yang sebelumnya tidak mengenal Tuhan, mula mengagungkan Tuhan dalam hidupnya. Penindasan yang bermaharajalela dalam masyarakat selepasnya menjadi aman damai dalam kerukunan. Tidak hanya bersekitar kepada keteguhan iman kepada Allah dan penumpuan ibadah semata-mata, tetapi risalah bawaan baginda itu mencakupi segala hal ehwal dunia dan akhirat.
Perjuangan dalam menyebarkan risalah islam tidak pula bersekitar di bumi Arab, bahkan melewati ke seluruh dunia merentasi benua dan bangsa manusia. Islam sebagai agama penyelamat dan menyelamatkan memberi sinar hidayah kepada seluruh manusia. Walau selepas ketiadaan baginda, misi ini tidak pula tamat bahkan berterusan sehingga ke akhir zaman menerusi peranan yang dibawa kepada para khulafa ar-rasyidinnya, khalifah-khalifah mamlukiah serta pemimpin-pemimpin islam yang seterusnya.
Namun jangan ada yang lupa, para cendiakawan Islam atau yang disebut alim ulama turut menjadi orang penting dalam memastikan islam terus berkembang dan dipegang kuat oleh umatnya. Tugas ini bukan sesuatu yang mudah namun tidak pula ia boleh dipermudahkan. Ungkapan ulama merupakan pewaris nabi memperlihatkan seolah-olah tanggungjawab itu tidak harus dipandang ringan.
Dalam situasi dunia hari ini, ulama tidak harus memperihalkan hal-hal bersekitar solat, puasa, zakat dan lain-lain perkara berkaitan ibadah. Tetapi harus lebih proaktif dalam melibatkan diri dalam perkara-perkara yang beada di luar kebiasaannya. Dengan maksud, dalam mendekati masyarakat penggunaan pelbagai strategi dan rancangan yang menarik harus diwujudkan. Sedangkan Nabi juga dulunya menggunakan pelbagai strategi dan metod dalam dakwahnya sehingga berjaya menarik pelbagai lapisan golongan untuk memeluk islam.
Sebagai kesimpulannya, para ulama dan pemimpin islam seharusnya perlu membuktikan betapa Islam itu benar-benar memberi rahmat kepada seluruh alam. Jangan kerana kerosakan masyarakat dan umatnya, ia menjadi fitnah kepada agama Islam pada hal ia merupakan agama yang syumul dalam memandu manusia kepada kehidupan yang bahagian dunia dan akhirat secara holistik.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.