Carian Daripada Blog Ini

Isnin, Januari 17, 2011

TIMBANG-TARA ANTARA KEPERLUAN DAN KEHENDAK



Setiap manusia secara umumnya memiliki keperluan hidup yang sama. Asas kepada kelangsungan kehidupan itu telah diakui semua manusia tanpa mengira peringkat usia, keturunan dan juga zaman. Semua manusia memerlukan makanan untuk hidup, pakaian untuk menutup anggota jasad dan tempat tinggal untuk berlindung. Tanpa salah satunya kehidupan seolah-olah tidak bererti. 

Apalah maknanya kalau seseorang itu punya pakaian tapi tiada makanan? Atau mempunyai tempat tinggal tapi tiada pakaian? Atau mempunyai pakaian tapi tiada tempat tinggal? Tiada salah satu tentu kehidupan seseorang manusia tidak lengkap.

Namun ada yang mengandaikan dalam dunia moden ini tidak cukup hanya sedakar memiliki makanan, pakaian dan tempat tinggal. Mengapa, ada perkara lainkah yang menjadi keperluan dalam hidup? Kalau tiadanya sesuatu yg selain dari tiga ini akan terjejaskah kehidupan?

Mungkin ya, dan mungkin tidak. Ia berikutan keinginan antara manusia dengan manusia itu berlainan. Keperluan asas yang sama sesiapa pun tidak menolaknya. Tapi dalam masa sama ada juga perkara-perkara lain yang menjadi keperluan dalam kehidupan seseorang. Mungkin ianya bergantung kepada corak kehidupan dan situasi mengikut latar belakang dirinya, kerjayanya, suasana masyarakatnya dan pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada ketidak samaanya perkara-perkara yang menjadi sesuatu yang perlu dalam kehidupan. Bahkan keperluan turut diertikan sebagai sesuatu yang harus dimiliki dengan sekadar yang ada bagi urusan berkaitan kehidupan.

Bagaimana dengan perkara-perkara lain? Tidak pentingkah untuk dimilki dalam kehidupan? Untuk perkara-perkara lain ia dianggap sebagai perkara kehendak dalam kehidupan di mana ia adalah sekadar untuk memberi keselesaan dan kemudahan terhadap diri manusia. Tanpa adanya perkara-perkara kehendak tentu saja ia tidak menjejaskan kehidupan. 

Kehendak yang menjadi kefahaman orang rata-ratanya adalah bersifat subjektif. Namun lebih prektikel dan sesuai kehendak itu dimaksudkan sebagai sesuatu yang menjadikan seseorang itu selesa dan bermakna dalam kehidupannya. Tanpa sesuatu itu tidak bermakna dirinya akan mati tetapi mungkin akan ada kesukaran dalam melalui kehidupan terutamanya dalam era modenisasi ini. Boleh juga dikatakan kehendak itu merupakan sesuatu yang dimiliki dengan kadar yang lebih daripada perlu. 

Jika menyebut kenderaan sebagai keperluan seseorang, mungkin ada yang bersetuju. Rata-rata setiap keluarga tentu saja memilkinya. Ada yang berkenderaan untuk bergerak dari sesuatutempat ke tempat yang lain seperti ke tempat kerja atau pulang ke kampung. Namun bilamana menyebut jenis dan pilihan kereta dan MPV mahupun motorsikal dan sebagainya, ia sebenarnya berkait rapat dengan kehendak. Jika dari kalangan orang yang berkemampuan tentu saja banyak pilihan boleh disenaraikan sebelum memiliki berbanding orang yang sekadar cukup-cukup makan namun perlu juga untuk kenderaan lalu memilih kenderaan yang sedakar mampu untuk memenuhi tuntutan keperluannya. 

Hatta kepada kepada kanak-kanak pun, jika perlu baginya sebuah basikal untuk ke sekolah kerana tiada perkhidmatan bas sekolah ditempatnya, maka ia juga menjadi satu keperluan untuknya. Di sini kita dapat melihat berkehendakkan untuk memiliki kenderaan itu menjadi sebuah keperluan mengikut situasi dirinya.

Begitu juga jika melihat perkara asas setiap manusia. Makanan yang menjadi keperluan itu juga boleh menjadi sesuatu yang dianggap kehendak apabila wujud keinginan yang melampaui peringkat keperluan dalam soal makanan sebagai penerus kehidupan. Pakaian juga tidak ketinggalan. Keperluannya adalah untuk menutup anggota jasad tanpa mengira jenis kain, warna dan potongannya. Ia menjadi kehendak apabila pakaian yang diingini itu melebihi dari apa yang sepatutnya dari sekadar perlu. Tidak kurang juga dengan temmpat tinggal. Matlamatnya adalah untuk berlindung. Tapi ia jadi sesuatu yang dianggap kehendak apabila rumah yang dimiliki itu mempunyai bermacam-macam kelengkapan rumah dengan maksud semua itu dapat membuat kehidupannya lebih selesa.

Maka jelas kelihatan setiap manusia itu mempunyai keperluan dan kehendaknya yang tersendiri. Apapun makna sebuah keperluan kepada seseorang pastinya ia menjadi satu kemestian bagi manusia untuk memiliki sedangkan pada manusia lain ia bukanlah sesuatu yang perlu dalam kehidupannya. Berkehendak kepada seuatu itu tidak pula menjadi kesalahan, namuin pastikan ia tidak melampaui batas sekaligus mewujudkan sikap suka membazir selain bermegah-megah dengan apa yang dimiliki. 

Ingatlah, apa yang dimiliki itu bukanlah hak mutlak baginya kerana semua itu tentu saja kurniaan daripada Tuhan yang Maha Penyayag dalam memberikan secebis nikmatnya kepada setiap diri manusia. Jika Dia mahu menarik semula apa yang dimiliki seseorang mudah saja baginya. Lalu tugas manusia yang menjadi hamba-Nya tidak lain hanyalah menzahirkan rasa syukur ke atas setiap kurniaan-Nya.




1 ulasan:

etomyam berkata...

amat setuju, tidak ada satu pun yg mutlak...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.